September 3rd, 2018

Penuh dengan mesej tersirat dengan jalan cerita yang menarik meskipun ia adalah filem genre seram, Munafik 2 nampaknya terus mencipta fenomena apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM 21.6 juta hanya selepas empat hari ditayangkan.

Berita itu disahkan sendiri oleh Syamsul Yusof menerusi akaun Instagramnya. Beliau merasa syukur tidak terhingga dan mengucapkan terima kasih kepada semua penonton atas sokongan mereka terhadap karyanya itu.

Kutipan terkini Munafik 2 telah berjaya mengatasi rekod filem Hantu Kak Limah yang sebelum ini berjaya mengutip RM 9 juta sahaja pada hari keempat tayangan.

Terdahulu, filem ini juga berjaya mencipta sejarah tersendiri kerana telah berjaya mengutip RM 2.05 juta pada hari tayangan awal. Tahniah kami ucapkan kepada Syamsul yang berjaya membangkitkan semula kehangatan filem tempatan.

August 30th, 2018

Nampaknya penonton masih lagi terpukau dengan hasil karya pengarah Syamsul Yusof, buktinya filem terkini beliau Munafik 2 telah berjaya mengutip RM 2.05 juta pada hari tayangan awal semalam.

Datuk Yusof Haslam selaku penerbit filem seram tersebut mengakui perkara seperti ini jarang berlaku dan sememangnya diluar jangkaan beliau.  Malah, ia sudah mengatasi rekod filem terhangat Malaysia, Hantu Kak Limah yang sebelum ini menugutip RM650,000 pada hari tayangan awal.

Benda sebegini jarang berlaku. Paling tidak pun, untuk tayangan awal sebegini, selalunya hanya boleh mengutip sebanyak RM500,000 ke RM600,000. Alhamdulillah, kerana secara tak langsung, ramai peminat filem kembali ke pawagam untuk menonton filem sekaligus memberi sokongan kepada filem tempatan.

Mempunyai barisan pelakon yang mantap, kemunculan Maya Karin semula ke layar perak dan juga trailer yang begitu menderbakan membuatkan ramai yang tidak sabar untuk menantikan tayangan rasmi Munafik 2.

Terdahulu, filem Munafik yang ditayangkan pada 2016 berjaya meraih kutipan keseluruhan RM17 juta dengan kos pembikinan sebanyak RM1.6 juta.

Sumber Berita : Harian Metro