Written by serenity | May 15th, 2014

Penyanyi dan komposer yang telah mempopularkan lagu ‘Kau Pergi Jua’ iaitu Adam Ahmad telah meninggal dunia pada pukul 12.15 malam tadi di Hospital Ampang.

Adam, 49, juga dkenali sebagai komposer lagu yang menaikkan nama penyanyi Aishah iaitu Janji Manismu.

Lagu itu pernah menjuarai pertandingan Juara Lagu 1990,  manakala Teratai Layu Di Tasik Madu nyanyian Fauziah Latiff yang pernah menjadi johan pertandingan Juara Lagu 1993 juga ialah ciptaan Adam.

Adam telah bernikah dengan wanita pilihannya, Norliza Ayat, pada tahun 2010.

Dia dikatakan meninggal dunia dipercayai kerana penyakit kencing manis dan tekanan darah rendah.

Jenazah  akan diuruskan di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur pagi ini.

Bersama kita sedekahkan Al-Fatihah buat beliau dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman.

Written by serenity | May 6th, 2014

Pelakon veteran terkenal, Datuk Aziz Sattar, 89, telah meninggal dunia kerana serangan jantung pada pukul 2.00 pagi tadi. Beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ Kajang pada pukul 10.00 malam 4 Mei lepas dan menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU).

Anak perempuan Allahyarham, Sandakiah memberitahu yang beliau menghembuskan nafas terakhir di samping dua anak, menantu dan seorang cucu. 

Jenazah yang akan dibawa pulang ke rumah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, dan urusan pengebumian pada pagi ini sedang dilakukan.

Aziz paling dikenali untuk wataknya sebagai Ajis di samping Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham S. Shamsudin yang meninggal dunia tahun lepas dalam siri filem trio Bujang Lapuk.

Bersama kita sedekahkan Al-Fatihah untuk Pak Aziz yang pernah membuatkan kita ketawa di zaman kanak-kanak dan berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman.

Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan buat negara kita. Al-Fatihah.

Written by serenity | April 28th, 2014

Sidek Hussain, seorang pelakon veteran telah meninggal dunia pada usia 63 tahun di Hospital Kuala Lumpur pada pukul 11.55 malam tadi kerana kanser tahap empat.


 photo hi_011.jpg

Dia dimasukkan ke hospital itu pada 30 Mac lepas setelah pengsan ketika membeli barang untuk cucunya di Kuala Lumpur. Doktor kemudiannya mengesahkan yang ketumbuhan pada pipi yang dihidapi olehnya sejak tiga dekad lepas ialah sejenis kanser.

Bersama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada beliau yang sempat memohon maaf dari semua kenalan dan peminat sekiranya ada kesalahan yang telah dilakukan.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Laporan asal Harian Metro.

Written by serenity | March 27th, 2014

Datuk Osman Jantan atau Ali Mamak, seorang pelawak yang cukup dikenali di era 80’an dengan sitkom ‘Santan Berlada’ telah meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia jam 4.20 pagi tadi kerana kanser tahap kedua. Perkara ini juga disahkan oleh anak lelaki beliau, Sharol Nizam melalui Facebook peribadinya.


 photo 1380218_613307588749709_938055256_n.jpg
Alllahyarham yang merupakan anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka  sudah berkecimpung dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun, dan telah dianugerahkan gelaran Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.

Di samping berlawak, Ali juga merupakan seorang penyanyi lagu-lagu komedi yang tidak asing lagi dengan pelbagai rentak dan lagunya pula sarat dengan mesej berunsur kritikan sosial atas isu-isu semasa yang berlaku di negara ini.

Jenazah akan dibawa ke Hulu Langat, Selangor untuk pengebumian sebelum Zohor. Bersama-sama kita doakan agar roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan dicucuri rahmat. Al-Fatihah.