Written by AbangNara | July 14th, 2016

Nampaknya kekecohan yang timbul dengan kenyataan David Teo tentang “kehidupan merempat” Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di saat-saat akhir kehidupannya masih berterusan sehingga ke hari ini. Selepas ramai selebriti tampil mempertahankan Allahyarham, kini giliran anaknya sendiri iaitu Sazali P. Ramlee untuk menjelaskan keadaan. Sebagai anak sudah pasti Sazali melahirkan rasa sedih apabila bapanya yang sudah tiada dilemparkan dengan penghinaan seolah-olah merendahkan imej Seniman Agung itu, sekali gus dirasakan seperti mahu menjatuhkan martabat bangsa Melayu.

sazali p. ramlee

Menurut Sazali, bapanya sentiasa memastikan anak-anak mendapat makanan, pakaian dan keperluan asas yang cukup sehingga hari pemergiannya. Kata Sazali:-

Selama saya lahir hingga ayah meninggal (dunia) ketika usia saya 15 tahun, belum pernah kami miskin atau tidak makan. Buat pengetahuan semua, sepanjang saya tinggal dengan bapa, kami anak-beranak diberi kehidupan yang sangat sempurna. Cukup makan pakai, malah bapa saya juga sentiasa menghulur bantuan kepada orang lain yang meminta pertolongan daripadanya tanpa mengharapkan sebarang balasan

david teoSazali juga berharap David Teo dapat menziarah pusara Allahyarham P. Ramlee dan meminta maaf di kubur Seniman Agung itu. Kata Sazali lagi:-

Kakak angkat saya, Dian, ada memaklumkan kepada saya David (Teo) menghubunginya bagi meminta maaf. Bagi saya, anak arwah yang masih hidup tentu tiada masalah memberi kemaafan, tetapi bagaimana dengan bapa saya? Rasanya lebih bagus kalau dia sendiri ke kubur P Ramlee.

p ramlee

Sebenarnya Abang Nara agak keliru juga kerana apabila menonton dokumentari Allahyarham P. Ramlee, sahabat baik beliau iaitu Aziz Sattar sendiri memaklumkan yang memang kehidupan Seniman Agung itu amat menyedihkan di hujung waktunya. Memang makan nasi putih dan telur sahaja. Malah kehidupan di Bukit Bintang itu pun ada disebut di dalam dokumentari itu. Nampak gayanya ada beberapa fakta yang tidak betul di dalam dokumentari tersebut. Mungkin sudah tiba masa dokumentari baru diterbitkan untuk memperbetulkan persepsi orang ramai terhadap Seniman Agung ini. Sumber Berita Harian.

Written by Bella | July 12th, 2016

Beberapa hari ini memang hangat dengan isu dimana David Teo yang dianggap menghina pelakon lagenda P Ramlee yang penghujung hidupnya tidak dilimpahi dengan kemewahan.

Turut terpanggil untuk meluahkan pendapat mengenai kenyataan David Teo ialah Afdlin Shauki. Afdlin yang sudah lama berada dalam industri seni dan mempunyai pengalaman yang cukup luas  melalui akaun Facebooknya telah menjelaskan beberapa perkara yang menyebabkan sesetengah artis boleh jadi miskin serta undang-undang didalam industri yang agak lemah serta menguntungkan sebelah pihak sahaja.

Malah, ada sahaja yang pihak yang memanipulasi artis dan ini menyebabkan mereka tidak dapat meninggalkan apa-apa pada waris mereka.

Berikut antara kenyataan Afdlin :-

Dari zaman dulu sehingga sekarang ada sahaja org nak memanipulasi org seni pasal pada tanggapan ramai org seni ni bodoh dan tak berpelajaran. Oleh kerana wang bukan menjadi motivasi utama, tak bermakna kami bodoh sekarang. Shaw brothers ambil semua intellectual property rights yang sepatutnya samada di kongsikan dengan karyawan atau ada peratusan yang masih berhak dituntut oleh karyawan atau warisnya. Saya nak tanya sekarang adakah prektis ini masih berleluasa? Di mana studio masih nak menuntut all rights kepada hasil karya seorang artis itu?

Jawapannya YA!!!! RTM, Grand Brilliance, Astro Shaw , Media Prima, Astro semua masih mempraktikkan memegang rights harta intelek dari karyawan. Walaubagaimanapun kebelakangan ini Astro dan Media Prima ada mula berkongsi rights dengan penerbit tetapi saya tidak  tahu berapa meluas.

So artis di hari tua tidak dapat meninggalkan apa apa pada warisnya. Jadi jawapan kenapa P Ramlee duduk di pinggir Bukit Bintang En David adalah dia tidak di ‘Protect’ oleh undang-undang negara ini. Dia dieksploitasi oleh studio-studio besar yang mengambil semua harta inteleknya, dan ianya tiada kena mengena dengan dia adalah artis yang tidak berdisiplin, tiada komitmen atau tidak tahu menjaga periuk nasinya.

Tambah Afdlin, sehingga kini masih belum wujudnya undang-undang yang mengatakan pihak penerbit dan stesen televisyen tidak boleh mengambil harta intelek karyawan.

Sehingga sekarang masih belum ada rang undang-undang parlimen yang menyatakan studio atau stesyen tv tidak berhak mengambil harta intelek seorang karyawan kecuali karyawan mahu menjual harta intelek itu pada harga yang berbeza dari harga projek tersebut.

So En David the problem is not P Ramlee, the problem is the lack of respect this country have for the rights of artistes.

Cukup padat sekali penjelasan Afdlin Shauki bukan? Janganlah semua kesalahan hendak diletakkan di atas bahu artis tanpa mengetahui perkara sebenar. Sebenarnya tidak salah untuk David Teo untuk meluahkan pendapatnya cuma apabila beliau memetik nama P Ramlee ia mencetuskan kemarahan kerana ramai tahu bahawa P Ramlee sebenarnya dimanipulasi oleh sesetengah pihak.

Sumber Berita : Facebook Afdlin Shauki

Written by Bella | July 11th, 2016

Tidak mahu isu beliau yang mengkritik penghujung kehidupan P.Ramlee yang tidak dilimpahi kemewahan menjadi lebih panjang, penerbit David Teo menerusi portal Utusan Online menjelaskan beliau sama sekali tidak mempunyai niat untuk menghina P.Ramlee.

David juga sebenarnya cukup menghormati P.Ramlee sebagai insan yang cukup berbakat. Buat David, beliau yakin apa yang berlaku cuma satu salah faham sahaja.

Saya sebagai penerbit sangat mengagumi karya-karya beliau yang ‘tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas’.  Saya sentiasa berpesan kepada artis-artis dan pengarah di bawah naungan syarikat saya supaya sentiasa berdisiplin dan berilmu supaya tidak menjadi mangsa tipu daya golongan yang ingin mengambil kesempatan.

Tidak juga terdetik sedikit pun untuk menidakkan apatah lagi menghina Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dan karya-karya beliau.  Saya yakin ini semua adalah salah faham dan salah tafsir pihak yang mendengar dan menulis artikel ini.

Sehubungan itu, dengan rendah hati  ingin memohon maaf kepada semua pihak terutamanya kaum  keluarga P. Ramlee dan seluruh penggiat seni tanah air yang terguris dengan isu berkenaan yang cukup hangat sekarang.

Baguslah kalau David Teo sudah memohon maaf dan tidak mahu isu ini berlarutan.  Bak kata pepatah, sebelum berbicara kita kena fikir risikonya dahulu.

Sumber Berita : Utusan Online

Written by Bella | July 11th, 2016

Gara-gara memberikan komen yang agak pedas tentang kehidupan P.Ramlee yang berakhir dengan kemiskinan dan mahu artis sekarang merancang kewangan mereka dengan bijak,  penerbit David Teo dikecam hebat oleh masyarakat.

Malah, persatuan Seniman menyifatkan kenyataan David agak biadap.

Menurut presiden persatuan berkenaan iaitu Zed Zaidi, beliau berpendapat David tidak layak untuk berkata-kata sedangkan filem terbitan beliau jauh lebih rendah kualitinya daripada filem yang dihasilkan oleh P.Ramlee.

Adakah anda tahu kebanyakan filem yang dikeluarkan oleh produksi anda mempunyai mutu yang tidak berkualiti langsung berbanding filem-filem semasa zaman P Ramlee?

Adakah anda tahu banyak universiti masih lagi mengkaji mengenai filem-filem P Ramlee sebagai rujukan kerana mempunyai nilai budaya dan mesej yang sangat kaya? Kreativiti tidak boleh dinilai oleh wang ringgit. Adakah anda tahu semua itu, David Teo?

Buat Zed, biarpun P.Ramlee tidak hidup mewah semasa penghujung hayatnya, beliau masih lagi menyampaikan mesej yang begitu murni didalam karyanya dan ia masih lagi tidak bosan ditonton sehingga kini.

Persatuan Seniman menuntut David untk membuat permohonan maaf secara terbuka  bukan sahaja kepada ahli keluarga P.Ramlee tetapi semua artis di Malaysia.

Seniman mendesak agar David menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada keluarga seniman agung P Ramlee kerana mengaibkan ikon seni negara sekeluarga.

David juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh seniman, seniwati dan artis-artis Malaysia mengenai kenyataan beliau ini yang dianggap biadap dan kurang ajar.

Sejujurnya, tiada siapa yang boleh menandingi P.Ramlee sehingga kini. Mungkin David Teo cuba untuk memberikan nasihat kepada artis Malaysia tetapi caranya tidak kena dan sekaligus membangkitkan kemarahan ramai.

Sumber Berita : THE MALAY MAIL ONLINE