Written by Bella | June 3rd, 2015

Syukur apabila kini beberapa artis wanita Malaysia sudah memilih jalan untuk berhijrah dan menutup aurat sepenuhnya. Walaubagaimanapun, kami terdengar cerita kurang enak daripada beberapa pihak yang mendakwa mereka berhijrah hanya kerana ingin menjalankan perniagaan tudung yang cukup laris kini dengan jenama mereka sendiri.

Salah satu selebriti yang dilihat cukup berjaya dalam bidang perniagaan ialah  Neelofa yang kini berjaya memasarkan tudung dengan jenama sendiri iaitu Naelofar Hijab turut menerima kritikan yang sama. Namun, jelas Neelofa beliau mengambil keputusan untuk berhijab adalah kerana Allah SWT dan bukannya untuk melariskan perniagaan beliau.

Buat Neelofa, seseorang selebriti yang hanya ingin menutup aurat kerana mahu mendapat manfaat daripada perkara tersebut melupakan niat itu kerana ia agak hipokrit.

Apabila seseorang mula berhijab sebab nak lariskan produk, bagi saya niat itu perlu dihakis. Ini kerana saya sendiri niat berhijab kerana Allah dan hanya Tuhan saja tahu kenapa saya berhijab.

Kita tidak boleh menghukun atau mengkritik sebab untuk seseorang itu mengubah kehidupan yang dibuat ke arah yang lebih baik, itu adalah hadiah bermakna daripada Allah. Perniagaan yang diusahakan itu adalah suatu bonus disebabkan mereka sudah punyai nama sebagai artis walaupun ketika belum berhijab.

Tidak dapat dinafikan sekarang memang berlambak produk hijab yang dikeluarkan oleh selebriti yang telah berhijrah dengan jenama mereka sendiri. Tidak salah sebenarnya untuk berniaga asalkan tujuan kita itu betul dan usah mempermainkan hukum Allah SWT.

Sumber Berita: BH PLUS