Written by Bella | October 4th, 2016

Bekas pengurus peribadi kepada pelawak Zizan Razak iaitu Marina Juki hari ini menang kes saman tehadap pelawak berkenaan atas kes pelanggaran kontrak perjanjian kira-kira dua tahun lalu. Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Datuk Roslan Abu Bakar membenarkan rayuan Marina Juki terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 4 April lepas yang menolak saman Marina terhadap Zizan.

Peguam Harjit Singh Sandhu yang mewakili Marina memberitahu pihak media mahkamah bersetuju bahawa Marina selaku pengurus peribadi Zizan berhak mendapat 15 peratus komisen ke atas semua pendapatan yang diperoleh Zizan  sepanjang empat tahun kontrak perjanjian antara mereka.

Mahkamah juga memerintahkan Zizan,  selaku defendan membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Marina (plaintif). Zizan dan Marina tidak hadir pada prosiding yang dijalankan hari ini.

Menurut Harjit lagi,  mahkamah juga menolak rayuan Zizan yang diwakili peguam Rishwant Singh terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan tuntutan balas pelawak itu terhadap Marina.

Pada 5 November 2014, Marina memfailkan saman terhadap Zizan atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian yang ditandatangani antara Zizan, syarikat Wire Fame dan Marina pada 3 Mei 2011.

Dalam pernyataan tuntutannya, Marina mendakwa pada Mei 2014, pihak Astro telah mengesahkan Zizan berada di bawah pengurusan Astro dengan kontrak bernilai RM2,000,000 tanpa persetujuan syarikat Wire Fame dan plaintif.

Marina mendakwa Zizan telah melanggar perjanjian kerana perpindahannya ke Astro dilakukan sebelum tamat tempoh kontrak dengan plaintif dan syarikat Wire Fame.  Menurut Marina ,  beliau kehilangan komisen 15 peratus ke atas pendapatan Zizan bermula Mei 2014 iaitu selepas pelawak itu menandatangani kontrak baharu dan memohon ganti rugi khas sebanyak RM535,500, ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Marina juga memfailkan satu lagi saman terhadap Zizan pada 30 Sept 2014 berhubung pembekuan dua akaun syarikat Wire Fame untuk satu tempoh yang lama, bagaimanapun Mahkamah Tinggi telah membatalkan saman itu pada 10 Feb 2015 selepas membenarkan permohonan Zizan untuk berbuat demikian.

Sumber Berita : mStar Online

Written by AbangNara | November 14th, 2014

Rasanya satu ketika dahulu, Zizan Razak dan Marina Juki telah memaklumkan kepada media yang mereka akan bersemuka untuk menyelesaikan kesemua masalah yang melanda. Setahu Abang Nara, tak ada sebarang berita mengenai pertemuan mereka dan tup-tup hari ini kita dikejutkan dengan tuntutan saman lebih daripada RM500,000 yang dikemukakan oleh Marina terhadap Zizan. Entah di mana silapnya, masalah yang boleh diselesaikan secara perbincangan kini terpaksa dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan lanjut.

zizan razak

Menerusi Berita Harian, Zizan memaklumkan yang dirinya tertekan dengan kes saman yang dihadapinya lebih-lebih lagi dengan pelbagai komitmen kerja yang perlu dilunaskan. Malah Zizan juga melahirkan rasa yakin bahawa tindakannya yang dilakukannya adalah tidak salah. Kata Zizan:-

Secara ikhlas saya nyatakan di sini bahawa saya mula mengetahui mengenai tindakan guaman ini ketika ia diterbitkan media pada malam kelmarin. Saya rasa sedih dan kecewa apabila individu ini (merujuk kepada Marina) berulang kali memilih untuk bercakap dengan pihak akhbar.

Tindakan mereka itu tanpa memaklumkan saya atau pihak guaman saya sendiri. Saya berasa benar-benar tertekan kerana ia dilakukan pada saat saya sedang sibuk dengan pelbagai komitmen kerja yang memerlukan perhatian.

Saya serahkan segala-galanya kepada peguam untuk melakukan yang terbaik. Apapun saya masih yakin bahawa saya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan demi kebaikan semua pihak.

zizan dan marina juki

Seperti yang dimaklumkan, perkara ini sudah pun menjadi kes mahkamah dan kita selaku peminat hanya mampu menunggu hari perbicaraan untuk mengetahui pihak mana yang benar dan pihak mana yang salah. Semoga pihak yang benar akan memperolehi kemenangan. Sama-samalah kita nantikan.