December 29th, 2015

Sudah dua kali putus cinta dengan Nur Fathia dan nampaknya kali ini seakan mereka tidak akan kembali bersama sebagai pasangan kekasih lagi, Aiman Hakim Redza tidak mahu lagi toleh ke belakang dan mahu melupakan episod duka beliau.

Meskipun dihimpit pelbagai persoalan daripada peminat, Aiman bagaimanapun enggan mendedahkan punca beliau dan Fathia memutuskan percintaan mereka.

Maaflah… Tiada yang perlu diperkatakan lagi. Saya tidak mahu membuka cerita (kisah putus cinta dengan Fathia) buat masa sekarang.Sudah tidak ada lagi yang boleh dikatakan. Privasi itu tetap milik saya sepenuhnya.

Bukan saya mahu bersikap defensif tentang perkara ini tetapi saya lebih memandang ke depan khususnya kesan-kesan daripada kontroversi yang membabitkan seseorang artis itu. Saya akui yang sebenarnya kontroversi itu ada baiknya untuk seorang artis lebih dikenali. Tak kiralah sama ada kontroversi itu yang baik atau buruk.

Tapi nampak gayanya orang kita lebih mengingati perkara yang buruk daripada sebaliknya. Selepas berfikir panjang tentang perkara itu, saya fikir lebih baik kalau saya ‘simpan’ perkara-perkara yang boleh saya simpan.

Untuk pengetahuan anda Aiman dan Fathia pernah berpisah sekitar awal tahun ini tetapi hubungan mereka kembali terjalin tidak berapa lama kemudian kerana masing-masing mengakui masih ada perasaan kasih sayang dan rindu selepas beberapa tahun bercinta.

Namun, baru-baru ini Fathia mendedahkan beliau sudah kembali solo kerana tiada lagi persefahaman antara beliau dan Aiman.

Ada juga khabar angin yang mengatakan Fathia sebenarnya makan hati dengan sikap Aiman yang tidak serius dalam perhubungan mereka. Benar atau tidak..mereka sudah pun memilih untuk “move on” dengan kehidupan masing-masing. Mana tahu selepas ini ada cinta baharu buat mereka?

Sumber Berita: Utusan Online

 

February 11th, 2015

Sekitar minggu lepas, aktres Fathia Latiff telah mendedahkan hubungan percintaan beliau bersama Aiman Hakim Redza sudah berakhir kira-kira sebulan yang lalu.

Walaubagaimanapun, cinta masih berputik dan Fathia mengakui sudah berbaik dan kembali bersama Aiman kerana kasih sayang selama dua tahun masih mekar dalam hati dan mereka tidak sanggup untuk berpisah lama.

Fathia akui amat menyayangi Aiman. Jadi apabila berlaku salah faham di antara kami, tak boleh nak merajuk lama-lama.

Dua minggu itu pun dah rasa macam lama. Bukan senang untuk Fathia lupakan Aiman begitu sahaja. Fathia ni seorang yang sangat setia. Hubungan kami bukannya main-main. Dua tahun kami bercinta.

Menyedari ramai yang membuat andaian mereka sendiri semasa hubungan Fathia dan Aiman putus, aktres jelita ini enggan memberikan komen lebih lanjut dan menyifatkan perpisahan mereka adalah kerana salah faham kecil semata-mata.

Ada salah faham sikit. Tak payahlah cerita ya.

Tidak salah sebenarnya untuk Fathia berkongsi cerita mengapa hubungan beliau dan Aiman retak untuk seketika. Ini kerana kalian berdua mempunyai peminat yang ramai. Apa-apapun syukurlah jodoh kalian masih ada dan peliharalah hubungan ini dengan baik.

Sumber Berita: Mangga Online

February 3rd, 2015

Kisah percintaan aktres jelita Fathia Latiff dan Aiman Hakim Redza nampaknya sudah berakhir selepas dua tahun menjalinkan hubungan cinta.
Ramai yang menantikan untuk melihat mereka berdua ke jinjang pelamin selepas dinobatkan sebagai pasangan paling serasi dan sepadan pada tahun 2014. Fathia yang mengakui hubungan mereka sudah putus menerima segala kententuan takdir.

Ya, kami sudah putus. Tiada tarikh rasmi kami berpisah dan tidak mengumumkannya. Hubungan itu berakhir dengan sendirinya dan saya terima jodoh kami bersama tidak panjang.

Fathia yang masih lagi mempunyai rasa cinta dan sayang buat Aiman Hakim Redza telah hilang tempat untuk mengadu dan melepaskan rindu kerana aktor itu adalah satu-satunya lelaki yang rapat dengannya sejak dua tahun yang lalu.

Kami membawa haluan masing-masing dan saya akui masih sayangkan dia (Aiman). Bayangkan dia satu-satunya lelaki yang paling rapat dengan saya sepanjang tempoh dua tahun dan dialah satu-satunya individu yang memahami serta menerima saya seadanya.

Buat masa ini, Fathia tidak lagi memikirkan soal untuk mencari pengganti dan mahu memberikan fokus terhadap kerjayanya terlebih dahulu tetapi tidak menolak jika  hadirnya cinta lagi buat dirinya selepas ini.
Agak sedih juga melihat pasangan ini tidak sampai ke jinjang pelamin. Mereka berdua memang cukup serasi dan manis bersama. Apakah punca mereka memutuskan hubungan  biarlah mereka sahaja yang tahu. Semoga Fathia lebih tabah selepas ini dan percayalah waktu akan menghilangkan segala kelukaan di hati yang lara.

Sumber Berita: Kosmo