Written by Bella | May 1st, 2017

Bakal berdepan saman RM 1.5 juta gara-gara didakwa melanggar kontrak perjanjian dan membuatkan produksi drama Yes Sir Nak Pergi Mana iaitu JNI Creative Sdn Bhd mengalami kerugian, pelakon Azrel Ismail nampaknya enggan berdiam diri dan tampil mempertahankan dirinya.

Azrel pada awalnya sudah pun memberitahu jadual beliau agak padat namun pihak JNI Creative tetap ingin beliau berlakon di dalam drama tersebut.  Sebenarnya, drama tersebut tidak boleh disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan kerana pihak produksi sering menukar kru penggambaran.

Sejak awal lagi, saya sudah memaklumkan kepada pihak produksi mengenai jadul kerana saya mempunyai komitmen lain. Saya juga ada bukti mengenai perkara itu.. Mengapa baru sekarang perkara ini ditimbulkan? Secara jujur, kami semua tidak sempat menyiapkan penggambaran 13 episod seperti yang didakwa. Ada beberapa episod yang belum siap sepenuhnya disebabkan jadual penggambaran kucar-kacir apabla produksi kerap menukar kru penggambaran.

Azrel juga menjelaskan beliau bukan mendesak pihak produksi untuk menjelaskan baki bayaran tetapi hanya mahu mendapatkan kepastian.

Memang dalam kontrak ada menyatakan bayaran kedua diterima selepas tamat penggambaran 15 episod. Tetapi dalam hal ini, mereka seperti melengah-lengahkan proses penggambaran. Selepas dua bulan, tidak nampak langsung bayangan 15 episod drama ini akan siap. Jadi, tidak salah rasanya kalau saya bertanya soal bayaran kerana saya tidak pernah melalui situasi begini dengan mana-mana produksi sebelum ini.

Harapnya perkara ini masih dapat dibincangkan secara baik. Mungkin ada salah faham yang berlaku dan adalah lebih baik sekiranya pelakon dan produksi bertemu empat mata untuk menyelesaikan segala kemelut yang berlaku.

Sumber Berita : Berita Harian

Written by Bella | April 28th, 2017

Pelakon Azrel Ismail dan Risteena Munim bakal disaman RM 1.5 juta selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian menerusi drama Yes Sir Nak Pergi Mana. Peguam yang mewakili pihak produksi, JNI Creative Sdn Bhd iaitu Mohd. Fadly Hashim berkata, kedua-dua pelakon tersebut diberikan tempoh masa selama 14 hari untuk berbincang dengan pihak produksi berkaitan permasalahan ini.

Notis saman itu adalah bertujuan untuk menuntut jumlah yang diberikan kepada pelakon sewaktu awal pengambaran, jumlah yang dibelanjakan produksi dan keuntungan di masa hadapan yang melibatkan pihak ketiga. Azrel dan Risteena juga didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar kepada pihak media bahawa pihak produksi enggan membayar baki bayaran mereka.

Mereka meminta lebihan bayaran sedangkan sudah tertulis dalam kontrak bila pembayaran akan dilakukan. Kedua-duanya ada berhubung dengan syarikat untuk meminta bayaran awal dan pihak produksi bersetuju tetapi beberapa hari kemudian mereka mengeluarkan kenyataan produksi tidak mahu membayar.

Jumlah bayaran di dalam kontrak menurut Mohd. Fadly adalah sebanyak 30% ketika bermula penggambaran, 20% selepas selesai episod ke-15, 35% selepas episod ke-30 dan selebihnya, 15% selepas sesi promosi drama.

Terdahulu, Azrel membuat laporan polis bersama-sama beberapa pelakon dan kru produksi di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor untuk menuntut sebahagian gaji dari syarikat produksi JNI Creative Sdn Bhd yang belum dilunaskan.

Wakil JNI Creative, Muhibbudin Ahmad berkata, pihak penerbit agak terkilan dengan apa yang sudah berlaku. Walaubagaimanapun, pihak mereka masih ingin berbincang dengan Azrel dan Risteena mengenai isu berkenaan.

Sumber Berita Dan Foto : Utusan Online