November 25th, 2015

Baru-baru ini, Awie ada memberitahu bahawa beliau akan membuat bantahan terhadap permohonan interim ataupun nafkah anak sementara yang dibuat oleh Rozana Misbun secara mengejut kerana mempercayai wanita itu cuba untuk mensabotaj dirinya yang ketika itu sedang sibuk dengan persiapan Konsert Wings 30 Tahun .

Tambah Awie, Rozana juga tidak memberikan sebarang alasan kukuh ataupun penjelasan lanjut  untuk permohonan tersebut apatah lagi selepas Rozana tidak hadir ke mahkamah berhubung permohonannya itu.

Terbaru, Rozana dalam kenyataan beliau kepada portal Utusan Online berkata beliau tidak kisah jika Awie tidak mahu memberikan nafkah anak dan biarlah penyanyi itu menanggung perbuatannya di akhirat nanti.

Kalau dia tak nak bagi (nafkah anak) saya reda, tetapi dia jawablah di akhirat nanti.

Namun, sebagai seorang ibu beliau nekad melakukan permohonan nafkah sebelum ini berdasarkan syariat Islam kerana Awie tidak pernah memberikan nafkah terhadap dua orang anak mereka.

Rozana dalam tuntutannya meminta responden iaitu Awie membayar wang nafkah bulanan, perayaan, tempat tinggal, persekolahan dan kos pembantu rumah untuk dua anak mereka iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5 yang kini dibawah jagaannya.

Tegas Rozana, beliau tidak mahu dikaitkan lagi dengan nama Awie kerana beliau bukan isterinya lagi. Awie juga berhak untuk berkahwin.

Buat sekian kalinya saya te­gaskan saya bukan lagi isteri dia (Awie), saya hendak jelaskan hal ini dan dia boleh nikah lain.

Kami tidak mahu memberikan komen lebih mengenai kes mereka, tetapi jika ibu bapa yang mempunyai masalah tolonglah jangan libatkan anak. Meskipun kes sedang dibicarakan, kebajikan anak-anak haruslah dijaga kerana ia amanah Allah SWT.

Sumber Berita: Utusan Online

October 30th, 2015

Awie sebelum ini telah membuat bantahan permohonan interim ataupun nafkah anak sementara yang dibuat oleh isterinya Rozana selepas mendapati alasan yang dikemukakan oleh beliau tidak begitu jelas.

Terbaru, Awie juga mendakwa wanita itu seakan sengaja untuk menganggu tumpuan beliau terhadap Konsert Wings 30 Tahun yang bakal berlangsung pada 31 Oktober ini apabila beliau menerima surat permohonan nafkah itu secara mengejut sewaktu prosiding pertama kes berkenaan.

Pada saya tindakannya secara mengejut menghantar surat tentang prosiding permohonan nafkah interim anak sengaja mahu menggangu perhatian saya terhadap konsert pada Sabtu ini.

Dia bukan tidak tahu pada saat ini saya sibuk dengan latihan menjelang konsert yang berbaki dua hari lagi dan ini cubaan dia untuk menjahanamkan saya.

Malah Awie juga menganggap Rozana tidak serius dalam tuntutannya kerana beliau gagal untuk menghadirkan diri di mahkamah bagi prosiding kes mereka.

Jika dia benar-benar ingin mempertahankan hak anak-anak sepatutnya dia hadir ke mahkamah tetapi apa yang saya lihat dia tidak serius dan cuba lari dari kenyataan. Dia tidak ada hati pun sebenarnya hendak mendapatkan anak-anak cuma mahu menggangu karier saya sahaja.

Rozana dalam tuntutannya meminta responden iaitu Awie membayar wang nafkah bulanan, perayaan, tempat tinggal, persekolahan dan kos pembantu rumah untuk dua anak mereka iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5 yang kini dibawah jagaannya.

Sumber Berita: mStar Online

October 30th, 2015

Kes penceraian Awie dan isterinya Rozana Misbun masih belum bertemu jalan penyelesaiannya. Setelah melalui beberapa episod dimana masing-masing ingin menegakkan hujah yang diberi, kini Awie sedang mempertimbangkan  untuk mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan  Rozana yang meminta nafkah sementara buat anak-anak mereka.

Kata Awie yang hadir pada sebutan kali pertama kes berkenaan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan semalam, peguam yang mewakili beliau Mohd Syafiq Norizan akan memasukkan bantahan awal tersebut pada 24 November depan selepas mendapati alasan yang dikemukakan oleh Rozana bagi permohonan tersebut tidak begitu jelas.

Rozana dalam tuntutannya meminta responden iaitu Awie membayar wang nafkah bulanan, perayaan, tempat tinggal, persekolahan dan kos pembantu rumah untuk dua anak mereka iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5 yang kini dibawah jagaannya.

Kes berkenaan didengar di dalam kamar dihadapan Hakim Syarie, Ibrahim Deris. Walaubagaimanapun Rozana tidak hadir pada prosiding berkenaan dan hanya diwakili peguamnya, Mohd Nor Afandi Dahari.

Sebelum ini mahkamah telah menyerahkan hak penjagaan anak sementara terhadap tiga orang anak mereka. Namun, Awie  dengan tegas tidak mahu menyerahkan anak sulung mereka Putra Ahmad Merah, 8  yang kini berada dalam jagaan penyanyi tersebut.

Agaknya apa kesudahan kes Awie dan Rozana ya? Kesian pulak anak-anak yang menjadi mangsa keadaan. Kalau boleh selesai cara baik apa salahnya, yang penting masing-masing kena buang ego dalam diri.

Sumber Berita: mStar Online