June 27th, 2018

Sedar ada pihak kurang senang dan menganggap tindakan beliau berkongsi video saat isterinya bersalin tidak sesuai untuk tatapan umum, jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri tampil memohon maaf menerusi satu ‘posting’ di akaun Instagramnya.

Mengakui tidak dapat memuaskan hati semua pihak, Aliff menjelaskan beliau tidak pernah berniat untuk memalukan isterinya seperti yang didakwa tetapi hanya ingin berkongsi betapa besarnya pengorbanan seorang ibu melahirkan anak.

Bukan itu sahaja, beliau mahu masyarakat mengambil sisi positif perkara itu dan agar para suami lebih menghargai isteri mereka.

Walaubagaimanapun, Aliff masih menerima serta menghormati pandangan orang lain mengenai isu berkenaan. Namun, beliau tetap berharap hal ini tidak akan berlarutan.

June 26th, 2018

Menemani isteri di bilik bersalin untuk sama-sama memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral ketika melahirkan zuriat adalah momen terindah buat mereka yang bergelar suami. Tiada siapa sebenarnya dapat mengungkapkan perasaan saat melihat cahaya mata yang selama ini dinantikan lahir ke dunia.

Namun, kini wujud  trend untuk sesetengah pihak memuat naik video proses kelahiran di media sosial. Berbicara mengenai perkara itu, selebriti dan bekas penyampai radio Faizal Ismail meluahkan rasa kurang setuju dengan tindakan itu. Buat Faizal, perkara itu dilihat seakan tidak menghormati seorang isteri yang melalui pelbagai kesakitan dan sedang bertarung nyawa.

Alasan yang diberikan untuk video tersebut dimuat naik bagi memberi pengajaran kepada orang ramai di luar sana juga adalah semata-mata untuk menghalalkan cara.

Rata-rata netizen serta rakan artis bersetuju dengan pendapat yang diluahkan oleh Faizal. Tidak salah untuk berkongsi kegembiraan menimang cahaya mata tetapi janganlah ‘memalukan’ isteri.

Ada benar apa yang dikatakan oleh Faizal itu, tidak salah untuk rakam saat-saat proses kelahiran tetapi biarlah ia menjadi tatapan peribadi sahaja. Bukan semua benda perlu dikongsikan di media sosial.