Sejak isu rampas mikrofon hangat diperkatakan, ada segelintir peminat fanatik penyanyi Haqiem Rusli sanggup meghentam orang lain termasuklah artis yang memberikan komen mahupun kritikan terhadap tindakan penyanyi itu. Ada kalanya, peminat ini sampai mencetuskan pergaduhan dan mengeluarkan kata-kata kesat.
Mula ada pihak yang salah sangka, adakah Haqiem juga menyokong perbuatan peminatnya itu? Namun, menurut Haqiem setiap kali beliau membuat persembahan, pastinya beliau akan memberi peringatan kepada mereka.
Setiap kali persembahan, saya akan minta mereka tidak menghentam atau ‘bash’ orang lain yang bercakap mengenai saya. Saya mengingatkan mereka supaya menyokong artis lain juga yang berada di dalam industri.
Apa yang mereka buat contohnya menghentam orang lain untuk mempertahankan saya, akan beri kesan kepada diri saya juga. Kerana itu, akan timbul pergaduhan antara peminat dan mereka yang bencikan saya. Buat apa perlu bergaduh.
Terdahulu, Haqiem mengatakan beliau sudah lali dengan segala kecaman, tetapi apabila ditanya mengenai perkembangan lanjut mengenai rawatan kemurungan seperti yang beliau janjikan sebelum ini, penyanyi itu nampaknya enggan memberikan sebarang komen.