Sejak video memaparkan aksi mesra berpelukan dengan Aidil Aziz tersebar baru-baru ini, pelakon Fasha Sandha seakan lebih terbuka untuk mula berbicara dan memberikan bayangan mengenai status hubungan mereka.
Terbaru, Fasha menerusi akaun Instagram memuat naik fotonya bersama Aidil dan dua orang anaknya dengan kapsyen mengakui beliau sangat selesa berkawan dengan pelakon itu. Aidil bukan sahaja membuatkan kehidupan Fasha lebih bahagia dan ceria tetapi turut membuatkan hati beliau dan kedua-dua anaknya gembira.
Meskipun ramai yang suka beliau berkawan dengan Aidil kerana lelaki itu bukan suami orang ataupun duda, Fasha sedar ada segelintir peminatnya kurang senang melihat keakraban mereka gara-gara kontroversi Aidil yang pernah ditangkap kerana kes dadah sebelum ini.
Namun, Fasha sama sekali tidak membangkitkan ataupun mempertikaikan kisah hitam Aidil dan menerima segala komen serta pendapat yang diberikan netizen dengan hati yang terbuka. Kalau ada jodoh mereka berdua, siapalah kita untuk menghalang bukan? Doakan yang baik-baik sahaja buat Fasha dan Aidil.