Semalam, pelakon Ellie Suriati menjadi tumpuan ramai dan bualan hangat di media sosial gara-gara tindakan agresif beliau yang menimbulkan kekecohan serta mencetuskan provokasi di luar mahkamah ketika hadir memberikan sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ellie menerima kritikan yang teruk apabila sanggup mencetuskan provokasi hanya kerana Peguam Negara tidak berbicara dalam Bahasa Melayu dalam perbicaraan dan sidang media. Ellie juga dilihat bertekak dengan beberapa anggota polis sebelum dibawa keluar dari lobi.
Tegas Ellie, beliau berhak dan bebas untuk menyokong Najib Razak serta menyuarakan pandangannya dan sedikit pun tidak kisah dengan segala kritikan negatif netizen terhadap dirinya.
Kita berada dalam negara demokrasi. Saya berhak untuk memilih parti politik dan berhak untuk menyuarakan pandangan. Kalau netizen nak cakap negatif, itu pandangan mereka. Terpulang kepada mereka dan saya tak boleh nak kata apa.
Saya anak seni dan kerjaya saya tak terikat dengan kerajaan. Malah, saya juga terima diri sebagai pembangkang.
Ellie juga tahu sebenarnya masih ada lagi rakyat Malaysia yang menghargai kepimpinan bekas perdana menteri itu dan jasa beliau terhadap negara. Buat Ellie, cara penahanan Najib Razak itu tidak beretika dan berharap beliau akan dibicarakan secara adil.