Semalam, peserta AF 9 iaitu Azri telah dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan tirinya dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas sehingga mendatangkan kecederaan serius sekitar dua tahun lalu.
Tentunya netizen merasa cukup berang dengan apa yang terjadi dan pelbagai kata-kata dilemparkan kepada Azri. Bagaimanapun, isterinya Salma tetap mempertahankan suaminya itu dan apa yang berlaku sedikit pun tidak menjejaskan rasa cinta dan sayangnya terhadap Azri.
Buat Salma, orang ramai tidak mengetahui perkara yang sebenar dan berharap mereka tidak membuat andaian berkaitan kes ini.
Perasaan sayang saya terhadapnya tidak pernah luntur. Dia suami saya, sudah pasti saya sayangkannya. Mungkin ini ujian Allah dan orang luar tidak sepatutnya membuat andaian negatif kerana mereka tidak tahu perkara sebenar. Saya kenal siapa suami dan tahu bagaimana sikapnya. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kami.
Hakim Norshila Datuk Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Azri selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kesnya yang berlangsung pada hari Khamis dan mahkamah menetapkan semalam untuk menjatuhkan hukuman.
Hukuman penjara 14 hari dimulakan semalam dan penjara enam bulan lagi sekiranya Azri gagal untuk membayar denda.