Sekarang ini sudah ramai artis yang lebih peka dan mementingkan tentang hukum serta ajaran agama Islam ketika berlakon. Seperti Saharul Ridzwan, beliau mempunyai prinsip untuk tidak menyentuh mana-mana wanita bukan muhrim. Tiada adegan berpelukan dan bersentuhan dengan pelakon wanita.
Namun, sebelum membuat keputusan tersebut, Saharul mendedahkan beliau pernah nekad untuk meninggalkan dunia lakonan kerana merasa bersalah dalam diri ketika terpaksa melakukan perkara ataupun babak yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Saya nekad meninggalkan dunia lakonan kerana tidak kuat mengatakan tidak kepada beberapa perkara yang saya rasakan salah kalau saya buat. Antaranya babak bersentuhan lelaki dan perempuan walaupun berlapik. Saya sudah mempersiapkan diri daripada segi mental dengan memaklumkan kepada isteri supaya bersedia dan terus bersama saya jika saya hilang punca pendapatan.
Tidak mahu membuat keputusan terburu-buru, Saharul merujuk persoalan dan perkara itu yang bermain di fikirannya kepada pakar agama.
Bagaimanapun, selepas merujuk perkara itu kepada pakar agama, mereka mengatakan tidak salah untuk saya meneruskan kerjaya ini. Mereka berpesan, saya boleh terus berlakon asalkan menanam niat, ia adalah suatu cara untuk saya berdakwah melalui mesej yang disampaikan dalam lakonan. Pendapat itu disertai dengan hadis dan dalil lalu melegakan saya.
Menerusi akaun Instagramnya pula, Saharul menerangkan lebih lanjut mengenai kenyataan beliau di atas. Jelasnya, niat tidak menghalalkan cara dan mengubah sesuatu yang haram menjadi halal dan mengelakkan perkara itu demi Allah SWT.