Semalam tersebar berita dimana pihak polis sedang mengesan seorang pelakon wanita, Intan Najuwa bagi menjadi saksi perbicaraan membabitkan kes dadah. Pelbagai spekulasi mula timbul dan adakah pelakon yang mula dikenali menerusi drama Kekasih Paksa Rela itu terlibat dengan dadah?
Turut terkejut apabila namanya tersenarai sebagai saksi yang dikehendaki, Intan memberitahu beliau tidak pernah sentuh bahan terlarang itu dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membersihkan namanya.
Saya dipanggil untuk menjadi saksi di mahkamah dan bukannya dikehendaki polis kerana melakukan jenayah. Saya tidak terbabit langsung dengan kes penyalahgunaan dadah, tak sentuh langsung. Saya masih di Malaysia, ada di rumah, tidak pergi ke mana-mana pun. Saya diminta untuk menjadi saksi kepada kes penyalahgunaan dadah membabitkan seorang kawan kira-kira dua tahun lalu.
Jelas Intan, kes itu sebenarnya sudah lama berlaku iaitu kira-kira tiga tahun lalu namun perbicaraan masih lagi berlangsung.