Tidak dinafikan lawak spontan kumpulan Sepahtu sering kali menghiburkan rakyat Malaysia bukan sahaja dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega tetapi di radio Sinar dan juga rancangan mereka sendiri iaitu Sepahtu Reunion Live.
Namun, cara kumpulan itu melayan tetamu undangan mereka iaitu aktres veteran Delima Wati yang terkenal menerusi watak Kak Limah disifatkan keterlaluan oleh netizen yang menganggap Sepahtu tidak menghormati aktres tersebut. Mereka terlampau mempermainkan Delima Wati ketika siaran langsung tersebut.
Bukan itu sahaja, mereka juga didakwa memperlekehkan Delima Wati kerana paras rupa dan usia beliau. Sepahtu tergelak besar apabila Delima Wati muncul sebagai jururawat sedangkan mereka mengharapkan watak itu dibawakan oleh wanita yang lebih cantik. Bagi netizen, perbuatan kumpulan itu tidak sopan sama sekali.
Pada pendapat kami, selepas ini Sepahtu mungkin boleh berhati-hati ketika membuat lawak jenaka agar tidak timbul sebarang salah faham ataupun mengundang kecaman netizen. Bukan mudah juga sebenarnya untuk melakukan aksi spontan ketika siaran langsung dan mungkin juga mereka tidak ada niat untuk buat orang lain tersinggung.