Baru sahaja mendirikan rumah tangga selama enam bulan dan belum puas bermanja dengan suami tercinta, Raf Yakoob, pelakon Mawar Rashid buat masa ini tidak merancang untuk menimang cahaya mata.
Malah, pasangan ini belum berkesempatan untuk berbulan madu kerana terikat dengan komitmen kerjaya.
Tanggungjawab sebagai seorang ibu sangat besar jadi kami merancang tidak menambah bilangan ahli keluarga buat masa ini. Tambahan pula kami baru berkahwin jadi saya nak habiskan masa dengan suami terlebih dahulu.
Sejujurnya kami belum sempat lagi berbulan madu kalau ke luar negara pun kerana ikut suami atas urusan kerja. Tetapi kami ambil peluang juga bersiar-siar dan menghabiskan masa bersama dan itu pun sebenarnya sudah memadai buat saya.
Bak kata pepatah, manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan menentukan segalanya. Mawar memberitahu beliau tidak menolak seandainya diberikan rezeki untuk hamil dalam masa terdekat.
Biarlah Mawar manja sepuasnya dengan suami, nanti bila sudah ada anak sendiri pasti banyak perkara yang harus dilakukan sehingga masa bersama suami juga terhad. Lagipun Mawar ada dua orang anak tiri yang comel, bolehlah berkongsi kasih sayang dengan mereka.