Sekarang ini, hampir setiap hari ada sahaja cabaran pelik-pelik yang trending, lebih-lebih lagi bab makanan. Semuanya demi meraih perhatian ataupun mencari ‘content’ agar popular di media sosial.
Terbaru, penyanyi Ara Johari pula dengan beraninya menyahut cabaran memakan mee segera pedas yang dicampurkan bersama buah durian. Boleh lihat betapa seksa jiwa raganya cuba menelan makanan tersebut sehingga tiba satu tahap, dimana Ara tidak dapat tahan lagi dan muntah teruk.
Aksi bahaya ini menerima kecaman netizen yang rata-rata berkata, Ara sepatutnya tidak berkongsi video tersebut kerana khuatir boleh mempengaruhi peminatnya melakukan perkara yang sama memandangkan dia seorang ‘public figure’.
Malah, kombinasi makanan pedas dan buah durian akan menimbulkan reaksi berbahaya dimana gas boleh bergejolak dalam perut selain meningkatkan suhu badan.
Video tersebut turut mendapat perhatian pelakon popular, Nabila Huda yang menganggap cabaran itu kurang cerdik dan menasihati Ara untuk tidak buat “kerja gila” yang hanya mendatangkan kemudaratan.
Ada pula netizen yang mendakwa Ara dan rakan-rakannya sanggup melakukan perkara itu semata-mata untuk meraih publisiti dan menjadi viral tanpa memikirkan kesannya kepada diri ataupun masyarakat.
Harapnya cabaran ini janganlah menjadi ikutan ramai. Fikir dahulu risiko sebelum melakukan sesuatu perkara.