Kecoh di media sosial hari ini apabila penularan gambar seorang suspek mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, gara-gara penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang didakwa telah mengubah wajah individu tersebut sehingga langsung tidak menyerupai rupa asal.
Isu itu timbul selepas gambar seorang suspek buruan dipercayai diedit menggunakan fungsi “Enhanced by AI” yang lazimnya digunakan untuk meningkatkan resolusi dan menjadikan imej lebih jelas.

Namun begitu, fungsi tersebut turut mempunyai kelemahan tersendiri apabila AI didakwa mencampur adukkan elemen pada wajah sehingga rupa asal berubah secara keseluruhan.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila gambar yang telah diubah suai itu tersebar meluas dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
Terdahulu, suspek kes kurung, cedera dan meliwat pelajar berusia 14 tahun berjaya diberkas sebelum dibawa ke mahkamah.
Bagaimanapun, ramai terkejut apabila wajah sebenar suspek didapati sangat berbeza berbanding gambar yang sebelum ini tular di media sosial.
Susulan itu, sebahagian netizen mula mempertikaikan penggunaan teknologi AI dalam usaha mengecam suspek kerana dikatakan boleh menyebabkan kekeliruan terhadap identiti sebenar individu terbabit.
Berdasarkan perbandingan gambar yang tular, perbezaan antara imej janaan AI dan wajah sebenar suspek dilihat terlalu ketara.
Menerusi gambar yang telah dijana AI, wajah suspek kelihatan seperti seorang pemuda yang tampan dengan struktur rahang tajam, kulit licin serta gaya rambut kemas dan tebal.

Sebaliknya, gambar sebenar menunjukkan suspek kelihatan lebih berusia dengan wajah cengkung, susut berat badan serta masalah rambut nipis dan garis dahi yang luas.
Transformasi digital melampau itu dikatakan telah menghilangkan identiti sebenar suspek sehingga menjadikannya kelihatan seperti individu lain.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
