Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Vellfire dipercayai milik seorang pemain bola sepak kebangsaan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah selepas didapati menggunakan cukai jalan dan insurans yang telah tamat tempoh.
Kenderaan tersebut ditahan dalam Ops Luxury yang dijalankan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal JPJ Kedah di hadapan Penjara Alor Setar di Lebuh Raya Sultanah Bahiyah kira-kira jam 11.30 pagi Khamis lalu.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, MPV itu dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga abang ipar kepada pemain bola sepak berkenaan.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan tersebut telah tamat tempoh sejak 18 November tahun lalu selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Pemandu itu memaklumkan dia tidak mengetahui cukai jalan kenderaan tersebut telah tamat tempoh,” katanya hari ini.
Tambahnya, Ops Luxury dijalankan bagi memastikan semua pemilik kenderaan mematuhi undang-undang jalan raya tanpa mengira status mahupun latar belakang.
“JPJ Kedah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan demi memastikan pematuhan undang-undang sentiasa dipatuhi,” katanya. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
