Kenyataan pelakon Hairul Azreen yang mendakwa dirinya dan Ammar Alfian hampir diculik oleh lanun ketika menjalani penggambaran filem Paskal di Semporna, Sabah telah mencetuskan pelbagai spekulasi.
Tindakan Hairul itu disifatkan sebagai satu publisiti murahan untuk mempromosikan filem lakonannya itu. Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) turut menyifatkan apa yang dikatakan Hairul itu tidak berasas dan menimbulkan rasa takut orang ramai apatah lagi ia melibatkan keselamatan negara.
Susulan perkara itu, ESSCOM akan memanggil Hairul dan Ammar untuk memberikan keterangan lanjut dalam masa terdekat. Setiap apa yang keluar daripada mulut mereka berdua juga akan dirakamkan di Ibu Pejabat ESSCOM, Lahad Datu.
ESSCOM akan memanggil kedua-dua pelakon itu untuk rakam keterangan mereka dalam masa terdekat di Ibu Pejabat ESSCOM.
Terdahulu, Hairul memberitahu ketika kejadian berlaku hanya beliau dan Ammar masih berada di kawasan pelantar minyak selepas menyelesaikan beberapa babak sebelum ada rakan membisikkan pihak berkuasa sebenarnya sudah mendapat maklumat bahawa kumpulan lanun mahu menjadikan mereka sasaran penculikan.