Penyanyi Hafiz Hamidun semalam merasa sangat lega apabila beliau telah memenangi kes saman ke atas sebuah syarikat tekstil popular yang didakwa telah menghasilkan kain menggunakan namanya tanpa kebenaran.
Kes tersebut sebenarnya sudah berlanjutan selama setahun lamanya, untuk pengetahuan anda Hafiz telah memfailkan saman terhadap syarikat tekstil Kamdar pada Februari 2017 selepas pihak tersebut gagal menyelesaikan isu itu secara baik bersama pihak Hafiz.
Alhamdulillah, setelah lebih setahun akhirnya mahkamah memutuskan saya memenangi kes ini pada Selasa lalu. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk melindungi nama saya yang sudah didaftarkan sebagai hak cipta dan trademark untuk perniagaan saya yang turut mengeluarkan beberapa produk berkaitan tekstil dan baju.
Hafiz sebelum ini dihimpit kontroversi dan dikecam teruk oleh netizen yang kurang bersetuju dengan tindakan beliau itu. Mereka berpendapat Hafiz tidak patut menyaman Kamdar kerana ada kemungkinan nama yang digunakan pada kain tersebut milik orang lain. Ada pula yang kata Hafiz sekadar ingin meraih perhatian dan mengambil jalan mudah untuk cepat kaya.
Saya sedar ramai netizen yang kecam dan anggap saya ‘poyo’ dan memperlekehkan usaha saya dengan menganggap saya ambil jalan mudah untuk jadi kaya. Terpulang kepada mereka kerana apa yang saya lakukan hanya untuk mempertahankan hak saya sahaja.
Mahkamah akan menetapkan nilai tuntutan kes ini kepada pihak Kamdar pada bulan Julai nanti.