Sering dikatakan sedang bercinta dengan Elfira Loy, penyanyi Sufian Suhaimi mengakui setiap kontroversi dan gosip sedikit sebanyak membuatkan hubungan mereka berdua lebih rapat. Malah, menurut Sufian beliau juga mempunyai hubungan baik dengan ibu Elfira.
Elfira adalah pendengar yang baik. Pengalamannya dalam industri seni banyak membantu saya menyusun langkah. Elfira banyak memberikan tunjuk ajar mengenai apa yang perlu dilakukan atau sebaliknya. Dia juga tempat saya meluahkan perasaan dan masalah. Keluarga saya dan Elfira tahu mengenai persahabatan kami. Hubungan saya dengan ibunya juga baik. Tetapi, rasanya terlalu awal untuk berbicara lebih jauh mengenai hubungan kami.
Kita tidak pernah tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Kami selesa berkawan dan membiarkan segala-galanya mengalir mengikut keadaan. Setakat ini, kami belum membuat apa-apa perancangan untuk membawa hubungan ini ke fasa lebih serius.
Sebagai pendatang baru dalam industri hiburan tanah air, Sufian juga masih cuba untuk membiasakan diri dengan gosip dan kontroversi yang umum mengetahui adalah lumrah hidup sebagai artis. Walaubagaimanapun, buat masa ini beliau tidak mahu memberikan komen lanjut mengenai hala tuju hubungan beliau dengan Elfira.