Enggan Tulis Surat Terbuka Tegur Pencetus Ummah Abu, Netizen Kritik Da’i Wan Dazrin

Hiburan

Enggan Tulis Surat Terbuka Tegur Pencetus Ummah Abu, Netizen Kritik Da’i Wan Dazrin

Da’i Wan Dazrin ialah antara pendakwah selebriti yang diketahui sering memberi komen dan menulis surat terbuka untuk menegur golongan artis. Sebelum ini, Wan Dazrin pernah menulis surat terbuka buat Emma Maembong kerana membuka tudung, Safiey Ilias kerana kembali menjadi pondan dan menegur Fathia Latiff kerana solat dalam kereta.

Justeru, ramai mengharapkan dia menulis surat terbuka buat Pencetus Ummah Abu Sufyan yang mengakui telah menceraikan isteri berusia 22 tahun yang sarat mengandung anak pertama mereka kerana ingin mengahwini seorang usahawan kosmetik dari Kedah berstatus janda.

Advertisement

Namun begitu, tulisan Netizen tersebut dibalas oleh Wan Dazrin mengatakan ia satu percubaan untuk menyebarkan kebencian terhadap ‘golongan seperti kami’.

Dia seterusnya menulis:

Mari sini saya tambahkan pengetahuan buat kalian.

Di sisi mazhab kita, Al Imam Muhammad Ibn Idris As Syafi’e, menjadi kesepakatan para ulama Syafi’eyyah, menghukumkan ‘Harus’ bagi talak yang dilafazkan pada isteri yang sedang hamil. Maka kalau cukup rukun talak, ia dikira sah.

Kalau kalian ‘claim’ kata, cerai yg digunakan PU tersebut tak sah, sbb pakai What’s app, yg layak buat penelitian tentang status ‘Sah’ atau tidak, hanya pihak mahkamah syariah. Mereka akan meneliti rukun2 talak. Jika didapati ia dilakukan memang tuntas, maka sah talak tersebut.

Imam-imam besar yang berpegang dgn pendapat yang mengatakan ‘Harus’ hukumnya bagi talak yang dilafazkan pada isteri yang sedang hamil adalah seperti: Al Imam An Nawawi, Al Imam Ibnu Ruslan, Al Imam Al Mawardi, Al Imam Syamsul Asbahani, Al Imam Ibnu Hajar Asqalani, dan banyak lagi.

Sekarang saya menjemput semua yang dibawah Thread saudari tersebut, untuk tampil di sini, di ruangan bawah ini, untuk berdialog lansung dengan saya jika masih ada tak faham mana-mana. Bukan main lagi bercakap belakang ya.?? Hati-hatilah dengan sangkaan itu, kerana ia permulaan kepada dosa.

Lain kali, faham dulu sudut pandang ilmu. Lepas tu baru nak cerita pasal adab. Kalau PU tersebut menceraikan isterinya dalam keadaan isterinya mengandung.

Dalami dulu sudut pandang hukum, dah faham hukum, baru kita boleh persoalkan pasal adab.

Saya tidak nafikan, kalau sesiapa pun yang bertindak menceraikan isterinya dalam keadaan sarat mengandung, ia adab yang sangat tidak baik dan itu saya serahkan pada Tuan Empunya badan untuk menanggung risiko bila kita tak menghormati seseorang even isteri kita sendiri.

Namun, dari sisi saya, saya menyampaikan landasan ilmu pada jalan yang telah pun diberikan kata putus oleh Ulama kita. Terpulang pada kalian nak menerima ilmunya atau tidak. Kalian nak mencela dia tidak beradab, silakan, ia bukan galakan dari saya.

Bercakap benda yang baik, kalau tiada, maka lebih baik diam sahaja. Cukupkan diri kita dengan syarat sebagai orang yang benar-benar beriman dengan hari akhirat. -Al-Hadis

Saya tidak melalut, bacalah satu persatu, tersusun dan teratur sahaja. Kalian yang sendirinya memasakkan kebencian kerana tak mahu menerimanya atau masih kesalahan itu hanya pada saya.

Saya tak pernah menyokong sesiapa, tidak kisahlah dia PU atau sesiapapun, kebenaran hanya ada pada landasan ilmu.

Soal dia dengan isterinya, itu adalah urusan aib rumah tangga mereka berdua, saya tidak perlu masuk campur. Saya perlu sentuh tentang ilmu mengenai kefahaman kalian, boleh atau tidak menceraikan isteri sewaktu sedang hamil. Itu sahaja.

Dia tak respect, tak beradab, tak mempunyai perasaan langsung, terhadap isteri dia, semua yang dilakukan kalau melukai hati seseorang, itu akan menjadi tanggungan dosa dan pahala dia sendiri.

Dia bukanlah orang yang berbangga menayang kesalahan seperti kebanyakan orang kita hari ni.

Teguran terbuka adalah untuk orang yang berbangga menayangkan maksiat / dosa / kemungkaran secara terbuka. Namun teguran tertutup adalah dedahan aib yang berlaku bukan dalam kawalan kita.

Banyak lagi kalian perlu perhalusi dalam perihal teguran terbuka atau tertutup dalam bab bukaan aib ini.

Tulisan Wan Dazrin bagaimanapun dibalas oleh seorang pengguna Twitter yang menggunakan handle @x_guy:

Sedih benar membaca statement @wandazrin dalam hal ini. Isu utama bukannya talak tersebut sah atau tidak. Tapi adakah wajar untuk suami menceraikan isteri yg sedang hamil semata2 nak kahwin lain, lebih-lebih lagi usia pernikahan mrk baru setakat 2 bulan sahaja.

Adakah wajar ?

Dan tidak perlulah kita berkata “perlu perhalusi teguran ??”, sebab hakikatnya, isu penceraian macam ni telah mencapai tahap yang kronik dalam kalangan orang Melayu. I repeat, tahap yang KRONIK!

Tak perlu halus sana sini lagi.

Berdasarkan pemerhatian sayalah, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang mempunyai pemahaman tentang konsep nikah & talak yang jauh tersasar daripada maksud sebenar agama. Agama Islam cakap lain, kita faham benda lain.

Contohnya dalam kes talak inilah, talak isteri dalam keadaan dia hamil. Memanglah talak tu hukumnya sah, tiada siapa nafikan. Cuma persoalannya, bukankah agama kita juga menyuruh utk menjaga hati isteri, untuk menjaga perasaan isteri terlebih lagi dalam situasi dia sdg mengandung

Takkanlah si suami tak boleh faham bahawa isteri tengah sarat mengandung, dalam waktu tu jugaklah kau nak minta untuk poligami, lagi-lagi usia pernikahan pun tak sampai setahun jagung (baru dua bulan kot)

Dan juga, tidakkah perbuatan PU tersebut mengundang fitnah kepada rumahtangga ? Dari mana kau kenal wanita tersebut & sejak bila kau dah mula hubungi wanita lain, padahal kau telah pun nikah selama 2 bulan?

Nampak tak, banyak fitnah yang terpalit di sini.

Saya harap sangat semua warga Muslim boleh faham & tadabbur ayat Al-Quran berikut :-

“Sesungguhnya Allah menyuruh untuk berlaku adil & ihsan”

[Surah An-Nahl ayat ke-90]

Bagi saya, ayat Quran di atas sangat penting untuk pasangan suami isteri hadamkan.

Dalam pernikahan, ramai yang boleh berlaku adil. Tetapi, sungguh sedikit yang boleh berlaku ihsan kepada pasangan mereka.

Saya bawakan satu contoh. Katakan si isteri berhajat nak beli tudung duck, tudung bawal or whatever. Lepas tu suami berkata “Eh, tahun lepas aku dah beli 3 tudung. Nak lagi buat apa. Aku dengar kat kursus kahwin nafkah setakat mencukupi. So tudung kau dah cukup, tak perlu lagi”

Memanglah nafkah dah mencukupi, dari sudut adil dah settle kat situ. Cumanya, Islam juga suruh kita untuk berbuat ihsan. Dan kalau suami belikan juga tudung kegemaran isteri (walaupun isteri dah cukup tudung), itulah namanya ihsan.
Perbuatan ihsan ni sangat berbeza dengan berlaku adil. Adil ni setakat memenuhi keperluan ‘bare minimum’, sedangkan berbuat ihsan adalah jauh lebih daripada itu.

Kalau ikutkan, tak wajib pun nak belikan tudung baru untuk si isteri sebab jumlah tudung pun dah cukup. Tetapi atas dasar ihsan, si suami belikan juga demi menjaga kebahagiaan & kegembiraan si isteri.

Samalah juga dalam kes talak ini. Memanglah sah nak ceraikan isteri dalam keadaan dia hamil, tapi bukankah lebih ihsan jika suami mengambil kira perasaan & emosi isterinya, yg sudah pasti akan sangat terjejas disebabkan talak itu. (Lagila si isteri tengah mengandung)

Kalaulah konsep ihsan ni benar2 ditekankan dalam kursus pernikahan, saya yakin masalah rumahtangga takkan jadi kronik macam ni. Malang sekali, kefahaman kita tentang konsep pernikahan tu sendiri telah tersasar.

Samalah juga dalam kes isteri memasak untuk suami. Dulu saya ingat ada satu tweet yg sebut “Isteri tak wajib masak! Isteri tak wajib menyediakan makanan! Tu tanggungjawab suami, saya ada belajar bende ni dalam kursus perkahwinan!”
Memanglah betul. Dari sudut Fiqh pun, majoriti fuqaha sebut isteri tidak ada kewajipan memasak itu. Cuma atas dasar ihsan, atas dasar kasih sayang, bukankah jauh lebih baik jikalau isteri juga tolong meringankan beban suami dalam urusan rumahtangga?

Kalau melihatkan hadis, indah sungguh konsep pernikahan yg cuba diterapkan oleh Nabi Muhammad ?. Diriwayatkan dlm hadis :-

“..baginda menguruskan urusan keluarga, dan apabila tiba waktu solat baginda keluar mendirikan solat” [HR Bukhari no.638]

Bahkan sahabat wanita, seperti Fatimah RA, juga pernah dilihat melakukan kerja2 rumah seperti memasak & selainnya (Sahih Bukhari no. 5361)

Nampak tak di sini? Lelaki & wanita sama2 menguruskan rumah tangga. Ada sesetengah kerja lelaki buat, sesetengah kerja lain perempuan buat. Semua ni kene ikut uruf & kesesuaian pasangan

Tak ramai menitikberatkan aspek ihsan ini. Sedangkan aspek inilah yang paling ditekankan dalam agama Islam. Tak hairanlah kes cerai banyak berlaku dalam negara kita. Nak buat camne, persefahaman & sifat ihsan tidak ada.

Kalau setakat tahu hukum Fiqh jatuh talak atau tidak, nasihat saya, better tak payah kahwin. Kalau diri sendiri kurang sifat ihsan, kurang sifat kasih & rahmah terhadap pasangan kita, macam manalah nak mengekalkan instituti rumah tangga dalam jangka masa panjang.

Ayat Quran pun ada sebut bahawa Allah ciptakan pasangan drpd jenis kita sendiri, “… agar kita berasa tenteram kepada mereka, dan Dia menjadikan antara kamu perasaan kasih & sayang” (Surah Ruum, ayat ke-21)

Dan akhir sekali, pesanan saya khas kepada lelaki di luar sana, saya titipkan di sini hadis nabi Muhammad ? :-

“Sebaik-baik kalian adalah yang terbaik akhlaknya terhadap isteri”

(HR Tirmizi no. 284, Saheeh)

Moga2 tulisan saya ini bermanfaat buat semua.

Wallahua’lam

For the record, saya acknowledge Da’i Wan ada banyak sumbangan & jasa dalam hal ehwal da’wah. Tetapi dalam kes cerai ini, sudah masa kita cakap dengan lebih tegas, dan tak perlu halus sana sini lagi

Wallahua’lam

Sesetengah Netizen mempercayai bahawa kenyataan PU Rahmat mengenai mudarat menceraikan isteri mengandung juga ialah satu kritikan kepada Wan Dazrin yang hanya mengulas dari sudut hukum perbuatan menceraikan isteri. – beautifulnara.com

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...