Menerusi portal Astro Awani, Aliff memberitahu beliau terkilan dengan perkataan sita yang digunakan oleh media tempatan yang menggambarkan beliau tiada berkemampuan. Menurut Aliff beliau lebih daripada mampu untuk membeli kereta mewah tersebut secara tunai.
Saya beli Rolls Royce itu secara tunai (cash), dan tiada hutang lagi. Saya lebih mampu untuk membelinya. Secara jujur, saya tidak tahu menahu mengenai kereta itu apatah lagi saya kini berada di luar negara.
Ditanya mengenai kenderaan tersebut yang menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) Sarawak, Aliff memberitahu beliau tidak mengetahui tentang perkara itu kerana menyerahkan segala urusan berkaitan kenderaan yang beliau miliki kepada pekerjanya. Pihak Aliff akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini menerusi media sosial Facebook berhubung isu berkenaan.