Ingin terus memperjuangkan haknya berikutan kes hadiah rantai berlian didakwa palsu, penyanyi Aishah hari ini menerusi satu sidang mendia khas memberikan tempoh tujuh hari kepada Datuk Seri Vida untuk melakukan permohonan maaf secara terbuka selain menyelesaikan masalah berhubung hadiah barang kemas tersebut.
Melalui peguamnya, Aishah telah menghantar surat tuntutan yang meminta DSV seutas rantai berlian asli dengan nilainya setara RM80,000.
Kami sudah menghantar satu surat tuntutan bermula hari ini. Menerusi surat tersebut terdapat dua tuntutan iaitu seutas rantai berlian asli dengan nilai setara RM80,000 seperti dihebohkan. Manakala tuntutan kedua satu permohonan maaf terbuka atas representasi yang salah yang telah dibuat berkenaan rantai berlian tersebut.
Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya DSV gagal membuat permohonan maaf itu dalam tempoh tujuh hari yang diberikan.
Tegas Aishah, tujuan beliau berbuat demkian adalah untuk menegakkan keadilan dan memberi pengajaran kepada pihak penaja serta badan penyiaran untuk tidak sesuka hati membuli serta menggunakan artis untuk kepentingan mereka.
Terdahulu, DSV dalam satu kenyataan memberitahu kontroversi antara beliau dan Aishah telah memalukan dirinya selain menjejaskan perniagaan beliau sehingga mengalami kerugian sebanyak RM 1 juta. Oleh itu beliau akui agak sukar untuk meminta maaf.