5 Kes Pembunuhan Misteri Di Malaysia Kekal Jadi Tanda Tanya

Kehidupan

5 Kes Pembunuhan Misteri Di Malaysia Kekal Jadi Tanda Tanya

Seperti yang kita tahu, kes pembunuhan sememangnya bukan satu perkara yang asing lagi buat kita di Malaysia. Sehingga ke hari ini, ada sahaja cerita tentang pembunuhan yang berlaku dan ini sedikit sebanyak meruntun hati kita yang mendengarnya.

Dalam setiap jurisdiksi, pembunuhan dianggap sebagai antara jenayah yang serius dan pastinya dikenakan hukuman yang berat jika sabit kesalahan.

Advertisement

4 years ago

Kronologi Kes Pembunuhan Noor Suzaily Yang Pernah Menggemparkan Negara

Kes pembunuhan yang berlaku biasanya berpunca daripada pelbagai motif termasuklah politik, cemburu, dengki, dendam dan sebagainya.

Selain itu, jenayah serta kes pembunuhan acapkali meraih tumpuan masyarakat dalam negara, tidak kira sama ada kes tersebut melibatkan individu berprofil tinggi mahupun orang awam.

Namun menurut gempak.com, terdapat beberapa kes pembunuhan yang masih kekal misteri dan menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

1. Kes Pembunuhan Mona Fandey, mangsa dibunuh dan dicincang 18 bahagian

Kes pembunuhan Mona Fandey, mangsa dibunuh dan dicincang 18 bahagian

Mona Fandey ketika dihadapkan ke mahkamah – Sumber Google

Kes pembunuhan melibatkan individu yang sememangya tidak asing lagi bagi kita iaitu Mona Fandey dianggap sudah selesai kerana pesalah telah dihukum bunuh dan kes ini telah ditutup.

Namun, apa yang telah terjadi di sekeliling dan keanehan tentang pembunuh dalam kes ini menyebabkan ia masih kekal misteri dalam ingatan kita semua.

Pada 22 Julai 1993, polis telah menemui mayat ADUN Batu Talam iaitu Datuk Mazlan Idris yang dicincang 18 bahagian. Mona Fandey yang merupakan seorang bomoh telah ditahan bersama suami dan pembantunya.

Ketiga-tiga mereka didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati. Hukuman bunuh tetap dilaksanakan walaupun terdapat rayuan.

Kes perbicaraan Mona Fandey ini pastinya masih segar dalam ingatan mereka yang hidup pada era 90-an. Mayat Datuk Mazlan Idris telah dicincang kepada 18 bahagian selepas berlangsungnya satu upacara ghaib yang dipercayai bertujuan untuk mendapat lebih banyak wang untuknya.

Apa yang dianggap sebagai ‘belum selesai’ adalah ketika kes jenayah mereka itu dibawa ke muka pengadilan yang melihatkan Mona Fandey sentiasa berkata “Aku tak akan mati” dan kekal tenang dengan senyuman di bibirnya sepanjang perbicaraan.

2. Norita Samsudin mangsa rogol dan bunuh?

Norita Samsudin mangsa rogol dan bunuh?

Norita Samsudin – Sumber Google

Norita Samsudin yang berumur 22 tahun, merupakan seorang peragawati sambilan namun sudah berhenti apabila diterima bekerja sebagai eksekutif pemasaran di Transpro Sdn. Bhd. sebelum dia ditemui mati di sebuah pangsapuri mewah di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Norita ditemui mati di dalam biliknya pada 5 Disember 2003, dalam keadaan berbogel dan tangannya diikat menggunakan baju dalam dan beberapa wayar seterika serta kepalanya dibungkus dengan sarung bantal. Tiada sebarang tanda dia dicederakan kecuali kesan cekik di lehernya dan cebisan tuala di dalam mulutnya.

Seorang jurutera bernama Hanif Basri telah ditahan atas pertudungan membunuh mangsa. Dia dipercayai merupakan orang terakhir yang berjumpa dengan Norita pada malam tersebut. Namun ketika perbicaraan berlangsung, dipercayai ada orang lain yang telah berjumpa dengannya selepas Hanif Basri.

Pertuduhan terhadap Hanif Basri dilihat terlalu lemah dan dia dibebaskan selepas timbulnya konspirasi mengatakan kes pembunuhan tersebut berkait dengan kehidupan sosial Norita sebelum ini.

3. Nurin Jazlin Jazimin diculik dan dibunuh kejam

Nurin Jazlin Jazimin diculik dan dibunuh kejam

Tangkap layar wajah Nurin Jazlin Jazimin dan keratan akhbar tentang kes pembunuhan – Sumber Google

Pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin Jazimin seorang kanak-kanak berumur 8 tahun telah menuju ke sebuah pasaraya berdekatan rumahnya untuk membeli klip rambut sebelum dia dilaporkan hilang. Menurut saksi kejadian, dia telah diculik dan dibawa masuk ke dalam sebuah van putih di Wangsa Maju.

Kehilangan kanak-kanak itu telah mendapat liputan yang sangat luar biasa sehingga boleh dikatakan nama dan mukanya pasti tersemat dalam fikiran setiap rakyat Malaysia ketika itu.

Sebulan selepas kes kehilangannya itu, terdapat satu kes pembunuhan di mana seorang kanak-kanak telah dijumpai mati dalam keadaan bogel di dalam sebuah beg gym di Petaling Jaya dan dipercayai mungkin itu mayat Nurin Jazlin.

Keluarga Nurin Jazlin gagal membuat pengecaman mayat disebabkan kecederaan yang sangat teruk yang dialami mangsa. Namun, ujian DNA mengesahkan mayat tersebut adalah Nurin Jazlin.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedikit sebanyak telah membantu untuk menyumbang maklumat berkenaan suspek yang membuang beg tersebut. Seorang wanita Indonesia kemudiannya ditahan berkenaan kes tersebut tetapi malang sekali kes itu masih belum diselesaikan.

4. Ke mana hilangnya Sharlinie Mohd Nashar?

Kes culik Sharlinie Mohd Nashar

Wajah Sharlinie Mohd Nashar – Sumber Google

Susulan kes pembunuhan melibatkan Nurin Jazlin Jazimin, kisah kematian Sharlinie Mohd Nashar juga pastinya belegar dalam ingatan rakyat Malaysia dalam tempoh yang panjang sebelum menjadi suram.

Pada 9 Januari 2008, Sharlinie yang berumur 5 tahun sedang bermain di taman permainan berhampiran kawasan rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya bersama kakaknya sebelum dia didapati hilang.

Laporan tersebut mula dipandang serius oleh masyarakat setempat apabila wujudnya watak ‘lelaki kucing’ iaitu suspek yang dikatakan telah meminta mangsa mencari kucingnya yang hilang.

Kehilangan Sharlinie ini terus menjadi isu hangat dalam negara susulan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin yang masih lagi panas ketika itu. Polis yang meneruskan siasatan dilihat semakin ‘dingin’ menyebabkan punca kehilangannya masih lagi tidak diketahui.

Walaupun kes Sharlinie ini bukan kes melibatkan pembunuhan, namun ia termasuk dalam artikel ini kerana ia masih menjadi misteri dalam kalangan rakyat sehingga ke hari ini.

5. Pembunuhan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang dikaitkan dengan serangan pihak komunis

Pembunuhan Tan Sri Abdul Rahman Hashim dikaitkan dengan serangan komunis

Wajah Tan Sri Abdul Rahman Hashim – Sumber Laman Web Iluminasi

Tan Sri Abdul Rahman Hashim merupakan Ketua Polis Negara yang ke-3. Pada 7 Jun 1974, ketika Tan Sri Abdul Rahman Hashim berada di dalam kereta menuju ke Bukit Aman, kereta yang dipandu Sarjan Omar Yunus yang melalui Jalan Tun Perak telah dihujani beberapa das tembakan.

Dua penyerang yang tidak dikenali telah melepaskan 11 das tembakan pada kereta tersebut di mana tujuh das terkena pada Tan Sri Abdul Rahman Hashim.

Zaman itu, Malaysia sedang berusaha menentang kuasa subversif yang datang dari kalangan komunis. Dipercayai bahawa pemimpin Parti Komunis Malaya iaitu Chin Peng yang telah mengeluarkan arahan bunuh tersebut, namun ia tidak berjaya dibuktikan di mahkamah.

Berikutnya pada tahun 1975, dua orang lelaki iaitu Lim Woon Choong dan Ng Foo Nam didapati bersalah atas kesalahan membunuh Ketua Polis Perak iaitu Tan Sri Khoo Choong Khong.

Disebabkan itu, muncul satu teori mengatakan berkemungkinan penyerang tersebut merupakan orang yang sama menyerang Tan Sri Abdul Rahman Hashim tetapi tiada bukti kukuh untuk menyokong kenyataan tersebut.

Lim dan Ng telah dijatuhkan hukuman bunuh di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Sehingga ke hari ini, kebenaran tentang mereka berdua yang dikatakan membunuh Tan Sri Abdul Rahman Hashim itu masih tidak diketahui.

Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...