Written by serenity | April 6th, 2012

Tak tahu berapa ramai yang menantikan tayangan filem keluaran 1997, Titanic yang ditayangkan semula dalam versi 3D mulai semalam, tetapi kami antara yang telah menyaksikannya di Berjaya Times Square. Filem ini ialah merupakan filem termahal pernah dihasilkan di dunia, dengan kos sebanyak USD 200 juta (lebih kurang RM 600 juta) dan diarahkan oleh pengarah tersohor, James Cameron.

Pada asalnya, ramai yang menjangkakan filem ini akan gagal membuat kutipan yang baik. Ternyata jangkaan mereka meleset bila filem ini berjaya mendapat kutipan melebihi USD 2 bilion ( lebih kurang RM 6 bilion) setelah selesai tayangan di seluruh dunia (tidak termasuk hasil jualan DVD dan cenderamata). Ia juga telah meletakkan hero dan heroinnya iaitu Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet dalam senarai pelakon A-List di Hollywood.

Kini setelah 15 tahun, James Cameron telah berhasil membawa kembali Titanic ke layar perak, tapi kali ini dalam bentuk 3D. Jadi apakah kelainannya?

Kos untuk menukar filem Titanic yang asal kepada format 3D memakan belanja USD 18 juta, dan mengambil masa 60 minggu untuk disiapkan dengan sepenuhnya. Untuk menyaksikan format 3D ini, anda akan dibekalkan dengan cermin mata 3D oleh pihak pawagam.

Hasilnya memang menakjubkan.

Kami menyaksikan Titanic sewaktu ia mula ditayangkan pada 1997 dua kali di pawagam dan sudah menonton DVDnya mungkin 20 kali, dengan kali terakhir pada tahun 2004. Bezanya menonton dalam versi 3D ialah anda merasakan bukan menonton, tetapi seolah-olah pelakon-pelakon utama filem ini iaitu Leonardo DiCaprio, Kate Winslet, Billy Zane dan lain-lain lagi benar-benar berada di hadapan anda.

Yang berbeza sudah tentu ialah dimensi pada gambar, di mana kita boleh ‘merasakan’ jarak antara semua permukaan dalam filem, seolah-olah ia ‘timbul’. Objek yang berada dekat terasa lebih ‘menonjol’ dan memberikan kedalaman sudut pada filem ini yang tidak dapat kita rasakan waktu menonton filem ini sebelum ini. Sebagai contoh, kami boleh merasakan kedalaman laut sewaktu kamera memfokuskan pada sisi kapal.

Dari segi lain tidak banyak berubah, tetapi James mengambil langkah bijak menggunakan kecanggihan teknologi masa kini untuk melakukan beberapa pembetulan pada filem ini, terutamanya pada langit malam di kawasan perairan di mana RMS Titanic telah tenggelam 100 tahun dahulu, yang kini menampilkan bagaimana langit sebenarnya kelihatan malam itu dengan menunjukkan langit malam dengan buruj yang tepat selepas mendapat teguran dari seorang ahli astrofizik.

Kami mendapati sisi romantik filem ini klise, dengan skrip seperti dari novel cinta picisan Mills and Boon , tetapi itu boleh dimaafkan kerana apa yang menjadikan filem ini cemerlang ialah penekanan pada fakta dari sebesar sehingga sekecil perkara, serta adegan dramatik saat kemusnahan dan tenggelamnya RMS Titanic dan hakikat tentang diskriminasi terhadap golongan kurang berada dalam menyelamatkan nyawa penumpang oleh pegawai syarikat perkapalan di saat-saat kecemasan. Perasaan panik yang diwujudkan dari kecemasan ini memang realistik.

Sebagai kesimpulannya sudah tentu kami mengesyorkan filem ini ditonton oleh semua pihak untuk mengalami sendiri drama tenggelamnya RMS Titanic dalam format tiga dimensi dengan impak realisme yang kekal dalam ingatan. Skor akhir ialah 5 dari 5 bintang.

Written by serenity | January 9th, 2012

Rebiu mengandungi spoiler. Baca atas risiko sendiri:

Tidak tahu sudah berapa lama Jet Li  tidak bergandingan dengan Tsui Hark, tetapi kerana terdapatnya penekanan tentang ini di poster filem The Flying Swords of Dragon Gate 3D, kami agak mungkin sudah agak lama juga. Sebagai peminat Jet Li, sudah tentu kami tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

Tsui Hark, pernah mengarahkan Jet Li untuk filem Once Upon A Time In China sekitar awal 90’an.

Satu perkara yang kami perasan dengan filem arahan Tsui Hark ialah kecenderungannya untuk mencipta satu watak sidekick yang agak ‘clumsy’ dan lebih sebagai comic relief, untuk bergandingan dengan sang wira. Kami jangkakan tidak ada watak seperti itu di sini, tetapi rupanya ada juga walau sekadar bayangan, menjadikan filem ini tidak serius seratus persen seperti filem wira ikonik Jet Li sebelum ini iaitu Hero dan Fearless.

Mari kita berlaku jujur di sini, Jet li bukan seorang aktor karakter. Dia bagaimanapun ialah seorang pelakon aksi yang cemerlang, dan itu sudah dibuktikan dengan jumlah filem aksi yang sudah dibintangi dan sambutan yang diterimanya. Jet Li ialah orang pertama yang ditawarkan watak Li Mu Bai dalam filem Crouching Tiger Hidden Dragon, tetapi menolaknya kerana ingin berlakon dalam filem Romeo Must Die sekitar tahun 2000.

Alasannya, Jet Li ingin membabitkan diri dengan satu produksi yang belum pernah disertainya yang akan menaikkan namanya di Barat, tetapi di luar jangkaannya filem Crouching Tiger Hidden Dragon mendapat kejayaan yang jauh lebih besar dari Romeo Must Die di Barat. Kami pasti dia masih menyesal tentang itu (walau dia takkan mengakuinya).  Apa yang kami tahu, Shu Qi yang pernah ditawarkan watak sebagai Jen (lakonan Zhang Ziyi dalam filem tersebut) amat menyesal meninggalkan produksi itu dan telah memecat agennya yang pada masa itu menyuruhnya berbuat begitu untuk melakonkan iklan Pepsi di Jepun.

Berbalik pada filem Flying Swords of Dragon Gate tadi, Tsui Hark memahami bagaimana untuk mengambil kesempatan melalui dimensi tambahan ketiga (3D) untuk menghidupkan turutan babak aksi dan memberikan kedalaman pada imej-imej yang ditampilkan.

Filem ini bermula dengan babak Jet Li sebagai Zhao Huai’an yang diperkenalkan sebagai seorang wira yang mengembara, berlawan demi keadilan menentang pemimpin-pemimpin korup yang tidak efisien pada zaman Dinasti Ming. Biro Barat yang ditakuti, diketuai oleh Komander Yu Huatian (Chen Kun), sedang berusaha menjelajah segenap pelosok untuk mencari dan membunuh seorang dayang istana, Su, yang mengandung anak luar nikah maharaja.

Su berjaya dikesan, tetapi sebelum sempat dibunuh, telah diselamatkan oleh seorang wira misteri yang mendakwa dia ialah Zhao Huai’an. Selepas berjaya menyelamatkan diri, penyelamat Su memperkenalkan dirinya sebagai  seorang wanita,  Ling Lanqiu (Zhou Xun), walau begitu dia menyimpan kesemua maklumat lain tentang dirinya sebagai rahsia. Untuk meninggalkan rantau itu, wanita-wanita ini perlu melalui satu kawasan gurun terpencil dan  berehat di Rumah Rehat Dragon Gate.

Komander Yu mengetahui tentang ini, dan menghantar pahlawan- pahlawannya yang terbaik untuk menghalang mereka. Apabila sampai di rumah rehat tersebut mereka perlu melalui kesulitan dan menghadapi ribut yang bakal datang bersama satu kumpulan tribal yang ganas yang diketuai oleh puteri mereka (Gwai Lun Mei). Apabila Ling dan Su menyorok di gua di bahagian bawah rumah rehat tersebut, dua orang lagi wira yang mengembara tiba di situ, Gu Shaotang (Li Yuchun) dan White Blade – seorang lelaki yang wajahnya mirip Komander  Yu (juga watak yang dimainkan oleh Chen Kun).

Walaupun ini seperti satu jaringan watak-watak dan setup latar belakang yang kompleks , plot berjaya dipersembahkan dengan jelas. Ada wira dan ada orang jahat, dan ada juga penyibuk yang hanya ingin bersuka ria dengan masuk campur hal orang lain (kumpulan tribal).

Berbalik pada watak-watak tadi, watak Ling  yang dimainkan oleh Zhao Xun, membawa beban emosi yang tidak diperjelaskan hampir di keseluruhan filem, walau bagaimanapun pada kebanyakan masa dia ialah titik fokus filem ini untuk momentum dramatik. Pada kebanyakan masa, watak Jet Li tidak ada dalam filem, dia hanya muncul pada bahagian 1/3 terakhir, menyebabkan dia dirasakan seperti satu watak yang baru pula.

Walaupun filem ini menunjukkan pergantungan pada imej janaan komputer ( CGI ) keseluruhannya, pada saat ribut pasir akan melanda filem ini mula kehilangan nilai estetikanya.  Juga terdapat satu adegan yang memaparkan ‘volte-face’ yang mengelirukan pada bahagian akhir. Bagaimanapun, ini tidak mencacatkan filem ini. Flying Swords ada pelbagai elemen yang menyumbang kepada kebagusannya: permainan pedang yang dinamik dan penuh bertenaga, kepada kuasa magis dan telekinesis Komander Yu yang mempesonakan walau sukar diperjelaskan, juga watak-watak yang kukuh dan menarik.

Jet Li sebagai Zhao Huai’an seperti biasa, menampilkan aksi yang mengagumkan. Walaupun dia tidak tangkas seperti dulu (ahem, faktor usia) dia masih menunjukkan permainan pedang yang awesome.

Unsur feminisme dalam filem cina ialah sesuatu yang lazim (masih belum berjumpa watak wanita lemah yang menangis sana dan sini serta perlu diselamatkan oleh hero sebagai watak utama filem cina) dan terpuji . Lakonan Zhao Xun sebagai Ling begitu baik, juga Gwai Lun Mei yang membawa watak seorang puteri kumpulan tribal yang bisa mencuri perhatian kerana karakternya yang sedikit ganas dan liar tetapi kelakar.

Chen Kun, si kacak yang bermain dua watak ini kelihatan seronok melakonkan watak sebagai Komander Yu yang serius dan zalim dan White Blade, yang merupakan watak yang ‘clumsy’ dan kelakar, seperti yang kami nyatakan di awal artikel ini tadi.

Sebagai kesimpulannya , Flying Swords Of Dragon Gate ialah sebuah filem yang ingin menampilkan banyak perkara, tetapi nasib baik berjaya menyampaikan kesemuanya dengan baik. Tsui Hark boleh berbangga dengan filem ini kerana menyentuh subjeknya dengan penuh tenaga dan keyakinan, dalam masa yang sama ia masih menghiburkan. 4/5 bintang.

Nota: filem ini masih ditayangkan di pawagam.