Fenomena ’Oppa Gangnam Style’ menggegarkan dunia apabila persembahan gerak tari yang diolah daripada gerakan menaiki kuda dan gaya hidup masyarakat Korea di bandar Gangnam menjadi inspirasi kepada penghibur Korea yang tersohor Psy. Psy telah mencetuskan fenomena tersebut sekelip mata apabila videonya yang dimuatkan di laman You Tube mencecah angka 90 juta penonton.
Menyedari hakikat itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengajak semua masyarakat Malaysia yang meminati seni tari untuk menyaksikan Inspitari yang telah dimulakan sejak 2009 yang lalu pada 12 dan 13 Oktober ini bagi memberi peluang serta maklum balas positif hasil olahan karyawan tari dari 15 buah Kumpulan Kesenian JKKN dari seluruh negara. Meskipun olahan ini mungkin dilihat masih ’raw’ dan memerlukan banyak sentuhan dan gilapan semula, namun apa yang penting ialah maklum balas yang baik memungkinkan olahan tersebut boleh dipopularkan oleh penggiat tari dan industri hiburan negara ke peringkat global. Siapa sangka, kemungkinan gerakan ’ayam didik’ yang merupakan antara khazanah tari negara boleh diberikan sentuhan baru dengan olahan muzik yang kontemporari mampu meledakkan gerakan ’ala Malaysia’ ke peringkat antarabangsa.

Persembahan Inspitari memaparkan elemen Malaysia dan olahan semula gerak tari Malam Gala Inspitari kembali lagi pada 12 dan 13 Oktober ini di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut. Ia sebagai manifestasi lanjutan ke arah pembangunan industri kreatif yang mampu memperkasakan Seni Budaya Negara. Inspitari yang memperkenalkan tema Pencarian Tari Kreasi Baru, merupakan satu garapan daya cipta dan kreativiti ditampilkan dalam simbolik persembahan tarian ciptaan baru berasaskan imej dan identiti setiap negeri di Malaysia serta keunikan masyarakat Malaysia yang cuba dikupas oleh Kumpulan Kesenian JKKN seluruh Negara menerusi olahan tari.
Program kesinambungan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) menyaksikan acara anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini kali ini mendapat kerjasama Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjadi saksi utama, satu lagi sejarah seni tari bakal terukir dengan penampilan karya tari kreasi baru yang boleh dijadikan koleksi ’repertoire’ negara satu masa nanti.
Berminat untuk menonton Inspitari 2012? Dapatkan maklumat untuk pas masuk percuma (terhad) dengan membaca entri ini sepenuhnya!


