Written by serenity | October 8th, 2012

Fenomena ’Oppa Gangnam Style’ menggegarkan dunia apabila persembahan gerak tari yang diolah daripada gerakan menaiki kuda dan gaya hidup masyarakat Korea di bandar Gangnam menjadi inspirasi kepada penghibur Korea yang tersohor Psy. Psy telah mencetuskan fenomena tersebut sekelip mata apabila videonya yang dimuatkan di laman You Tube mencecah angka 90 juta penonton.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengajak semua masyarakat Malaysia yang meminati seni tari untuk menyaksikan Inspitari yang telah dimulakan sejak 2009 yang lalu pada 12 dan 13 Oktober ini bagi memberi peluang serta maklum balas positif hasil olahan karyawan tari dari 15 buah Kumpulan Kesenian JKKN dari seluruh negara. Meskipun olahan ini mungkin dilihat masih ’raw’ dan memerlukan banyak sentuhan dan gilapan semula, namun apa yang penting ialah maklum balas yang baik memungkinkan olahan tersebut boleh dipopularkan oleh penggiat tari dan industri hiburan negara ke peringkat global. Siapa sangka, kemungkinan gerakan ’ayam didik’ yang merupakan antara khazanah tari negara boleh diberikan sentuhan baru dengan olahan muzik yang kontemporari mampu meledakkan gerakan ’ala Malaysia’ ke peringkat antarabangsa.

Persembahan Inspitari memaparkan elemen Malaysia dan olahan semula gerak tari Malam Gala Inspitari kembali lagi pada 12 dan 13 Oktober ini di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut. Ia sebagai manifestasi lanjutan ke arah pembangunan industri kreatif yang mampu memperkasakan Seni Budaya Negara. Inspitari yang memperkenalkan tema Pencarian Tari Kreasi Baru, merupakan satu garapan daya cipta dan kreativiti ditampilkan dalam simbolik persembahan tarian ciptaan baru berasaskan imej dan identiti setiap negeri di Malaysia serta keunikan masyarakat Malaysia yang cuba dikupas oleh Kumpulan Kesenian JKKN seluruh Negara menerusi olahan tari.

Program kesinambungan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) menyaksikan acara anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini kali ini mendapat kerjasama Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjadi saksi utama, satu lagi sejarah seni tari bakal terukir dengan penampilan karya tari kreasi baru yang boleh dijadikan koleksi ’repertoire’ negara satu masa nanti.

Berminat untuk menonton Inspitari 2012? Dapatkan maklumat untuk pas masuk percuma (terhad) dengan membaca entri ini sepenuhnya!

 
Written by serenity | October 6th, 2012

KUALA TERENGGANU: Badan penyiar yang baik bukan sekadar meningkatkan jumlah ’rating’ yang tinggi berasaskan nilai komersil semata-mata, namun di samping itu adalah tanggungjawab sosial dalam mencungkil pelbagai jenis bakat seni di segenap lapisan masyarakat yang mungkin boleh dikomersilkan dan memberi nilai ekonomi kepada seniman itu sendiri.

Menyedari kepesatan arus Industri Kreatif dan pembangunan seni budaya dalam pembangunan ekonomi negara yang mampan,  Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak semua masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai bakat seni untuk tampil menyerlahkan bakat mereka menerusi Program Penerbitan TV yang diterbitkan bersama oleh kedua-dua agensi bertanggungjawab untuk menjelajah ke enam (6) zon di seluruh negara menerusi sesi uji bakat, rakaman dan siaran langsung sempena Karnival Bakat MyGempak 2012 yang dilaksanakan di sini pada hari ini.

Empat (4) program TV bagi siaran RTM akan dilaksanakan sempena penjelajahan di beberapa lokasi yang direncanakan itu adalah program ’My Ekspressi’, ’Lantai Cilik’, sitkom ’Sri Pantun’ dan ’Mimpi ke Bintang’ (Bakat TV).  Program TV tersebut dilaksanakan secara uji bakat, rakaman hinggalah ke siaran langsung dari keenam-enam lokasi iaitu Kompleks JKKN Terengganu (taman Budaya Terengganu) di Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 1 hingga 6 Oktober, Zon Utara lokasinya ialah RTM Kedah, Alor Setar pada 8 hingga 13 Oktober, RTM Kuching, Sarawak pada 15 hingga 20 Oktober, Zon Selatan pada 5 November hingga 10 November di Kompleks JKKN Melaka (Taman Budaya Melaka), Ayer Keroh, Melaka, seterusnya pada 3 hingga 8 Disember di Kompleks JKKN Sabah (Taman Budaya Sabah), Jalan Penampang, Kota Kinabalu dan pada 10 Disember hingga 15 Disember di Kompleks Penyiaran RTM, Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan.

Selain berpeluang menonjolkan bakat dan kemahiran masing-masing; program Karnival Bakat MyGempak ini juga dapat menjadi medan pertemuan para penggiat seni lama dan baru juga mendekatkan rakyat dengan kedua-dua agensi kerajaan ini iaitu RTM dan JKKN serta sumbangan mereka dalam melahirkan insan kreatif dan berdaya saing. Tidak tertumpu kepada aspek penyiaran semata-mata, RTM dan JKKN memandang serius perkara ini menjayakan pencungkilan bakat seni ini secara agresif di kalangan generasi muda khususnya melalui program seni budaya, dalam konteks kerjasama ini – para pelajar sekolah yang berkecimpung melalui program Kelab Kesenian Sekolah, Kelab Tunas Budaya (Program Bimbingan Seni JKKN dan Kementerian Pelajaran Malaysia), para graduan lepasan ASWARA, ASK, IPTA/S dalam bidang seni, apatah lagi hasil latihan seni budaya berterusan yang dilaksanakan oleh JKKN. JKKN dan RTM berusaha menarik minat masyarakat kepada aktviti seni yang jarang diambil berat selain menyanyi.

Program pertandingan nyanyian dilihat sudah menjadi perkara biasa dan telah banyak pertandingan seumpama itu diadakan. Tetapi bakat seni seperti Seni Tari, Seni Mereka dan Mengolah Karya Tari, Seni Berbahasa (Sri Pantun) dan Seni Persembahan seperti Lawak Jenaka Spontan atau luar biasa, kemahiran yang unik lagi luar biasa apatah lagi kepantasan luar biasa jarang diketengahkan atau hampir tiada. Lantaran itu program seperti ’Lantai Cilik’ yang merupakan program tv yang pertama di Malaysia yang mengetengahkan Pertandingan Mencari Juara Tarian Tradisional dan Kontemporari di kalangan Kanak-kanak Sekolah Rendah berusia 12 tahun ke bawah (Berkumpulan) dilaksanakan bagi memberi peluang kepada para pelajar ini menyerlahkan bakat hasil gilapan yang telah mereka pelajari. Program ini bukan setakat untuk menonjolkan kebolehan mereka; bahkan meningkatkan keyakinan diri, semangat ‘esprit de corp’ (kerja berpasukan) tetapi daya saing secara sihat di kalangan mereka. Menurut Shazlan, dari Shazlan Dancers; yang menjadi Juri Tetap Jemputan untuk Uji Bakat ini – “Apa yang penting bagi pencarian ini adalah untuk mencari kumpulan tari yang bukan sahaja handal di lantai tari; bahkan mempunyai semangat berpasukan dalam satu kumpulan tari dengan baik dan berdisiplin.” Pendapat ini diakui serius oleh Puan Jumaninor yang merupakan tenaga pengajar berpengalaman JKKN dalam bidang tarian kanak-kanak – “Kita memerlukan kumpulan tari yang bukan sahaja kelihatan ‘comel’ di atas pentas tetapi berbakat besar dan berdisiplin kerana kumpulan tari yang disertai mereka memerlukan semangat setia kawan dan kerjasama yang tinggi untuk menari dalam satu persembahan secara berpasukan. Ini yang kita ambil berat selain penampilan dan bakat yang boleh diasuh dan digilap.

Berlainan pula dengan program tv ‘MyEkspressi’ yang mempunyai pendekatan berbeza. Program yang berkonsep realiti tv ini akan mencari pereka tari atau koreografer muda yang berkebolehan menari secara solo tarian tradisional dan kontemporari bahkan yang lebih mencabar peserta diberi tugasan secara spontan untuk mengolah gerak tari kepada sekumpulan artis tari tarian yang ‘authentic’ kepada kontemporari sebelum mereka bersedia untuk rakaman. Menurut penerbit rancangan ini Cik Rashidah Ali; “Sumbang saran yang kami laksanakan hampir sebulan dengan JKKN menemui idea yang bernas apabila akhirnya kami sama-sama bersetuju untuk mencari pereka tari atau koreografer. Meskipun sedar bidang ini sesuatu yang agak baru, namun kami berusaha memberikan yang terbaik kerana kami menyedari jika kita tidak mulakan sekarang, tiada siapa pun yang akan memulakannya. Apatah lagi YBhg. Dato’ Norliza Rofli Ketua Pengarah JKKN dan YBhg. Dato’ Norhyati Ismail bersetuju untuk kami sama-sama memulakan program ini meskipun kita tahu cabaran mencari pereka tari ini agak sukar.”

Menurut YBhg. Dato’ Norliza Rofli, “JKKN menyeru kepada semua penggiat seni tari yang berkebolehan mereka, mengolah gerak tari dari tradisional ke kontemporari untuk turut serta dalam program yang boleh dianggap sebagai perintis kepada dunia reka tari negara. Meskipun JKKN mengadakan program seumpama MyEkspressi ini iaitu Inspitari yang dilaksanakan setiap tahun untuk menambah vokabulari tari, namun pendekatan ini amat berbeza kerana Inspitari adalah rententan program mengolah karya kreasi baru bukan dalam bentuk pertandingan tetapi lebih kepada aspek manifestasi dan disertai oleh Kumpulan Kesenian JKKN seluruh negara sahaja. Namun dengan adanya MyEkspressi ini; para penggiat tari yang bergerak sendiri; apatah lagi yang mengusahakan tari sebagai pendapatan secara tetap atau tidak serta kumpulan-kumpulan tari yang dinaungi oleh Pihak Berkuasa Tempatan, Organisasi, Pertubuhan malahan agensi kerajaan untuk turut serta dalam program realiti tv yang pertama seumpamanya di Malaysia ini.” jelas beliau lagi.

 
Written by serenity | July 24th, 2012

oleh: Noorariza Mohd Azahari

Festival Ramadhan yang masuk minggu kedua penganjurannya pada 28 dan 29 Julai 2012 yang akan datang telah berjaya menambat minat para penduduk sekitar Kuala Lumpur dan pelancong yang berminat untuk merasai pengalaman berbuka berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad sambil merakamkan suasana senja di tengah-tengah kotaraya ini. Ini adalah sebagai sebahagian usaha untuk menyemarakkan Ramadhan yang mulia seperti di kebanyakan Negara-negara Arab.

Di Mekah Al-Mukarramah misalnya, berlatar belakangkan Kaabah, anda dapat menikmati kurma pilihan seperti sukkari, ajwa, routab, anbar dan lain-lain lagi yang disesuaikan dengan minuman arab iaitu Qahwah (kopi pahit) dan teh bersama daun pudina. Mengambil kira keindahan menyambut Ramadhan di Negara Timur Tengah, Kuala Lumpur juga berpeluang menyemarakkan sambutan tersebut secara sederhana tetapi meriah dengan juadah berbuka merangkumi bubur lambuk Kampung Baru sebagai menu utama selain kurma dan manisan yang bersesuaian.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli gembira kerana usaha yang dilaksanakan secara julung kalinya hasil kerjasama erat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, malahan media penyiar (radio) Klasik Nasional dan Ikim.fm, Muzium Kesenian Islam, Sungei Wang Plaza dengan kerjasama RTM dan kariah-kariah masjid sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya turut sama berganding bahu menjayakan festival yang pertama seumpamanya di Malaysia ini.

Sebagai sebahagian daripada kehangatan Festival Kuala Lumpur yang giat dilaksanakan sepanjang Julai dan terus disemarakkan dengan sambutan Ramadhan. Menurut Norliza lagi; festival ini bersesuaian dengan tradisi masyarakat Islam di Malaysia yang menyambut Ramadhan dengan aktiviti tadarus Al-Quran, berzanji, marhaban dan sebagainya bersesuaian dengan Ramadhan yang mulia dan sepatutnya disemarakkan dengan pelbagai ibadah dan bukanlah sekadar pengisian untuk sambutan Aidilfitri semata-mata.

Program-program baru ini menjurus kepada suasana baru dalam seni budaya dan bukan sekadar penjenamaan semata-mata. Misalnya aktiviti seperti berzanji, marhaban, nasyid bahkan program mengimarahkan masjid (meramaikan) sempena bulan Ramadhan sudah lama menjadi tradisi dan budaya masyarakat beragama Islam di Negara kita namun tidak pernah menjadi sebagai sebahagian acara mega Negara.

Mengambil pendekatan ini, JKKN berhasrat untuk melaksanakan Festival Ramadhan yang akan mendekati pembudayaan dan tradisi Islam dalam menyambut Ramadhan dengan menyemarakkan Ramadhan dengan aktiviti ibadah seperti bersedekah, berzikir, bertadarus, dan pelbagai kaedah untuk menyemarakkan ruh Ramdhan. Usaha ini tidaka kan Berjaya tanpa kerjasama media massa, korporat, komuniti dan pihak berkuasa tempatan bagi menjayakan aktiviti ini. Festival ini juga diharapkan dapat membantu memandu masyarakat menghormati dan memuliakan bulan yang mulia ini khususnya di kalangan generasi muda Malaysia sesuai dengan pembangunan ruhani dan modal insan.

Berteraskan tema ‘Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima!’ ; Festival ini bertujuan untuk; meningkatkan aspirasi rakyat Malaysia terhadap bulan Ramadhan selain bertujuan untuk mengimarahkan (menyemarakkan) kegiatan keruhanian di kalangan generasi muda semasa bulan Ramadhan seperti aktiviti yang meningkatkan ruh ramadhan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah serta disuruh oleh Rasulullah SAW di dalam bulan Ramadhan seperti tadarus Al-Quran, iktikaf, zakat fitrah, solat tarawih, qiyamullail, sahur, ifthor-memberi makan kepada yang berpuasa dan sebagainya adalah menjurus kepada melahirkan insan muttaqin.

Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Al Baqarah : 183

Festival ini turut menjadi keistimewaan baru kepada Festival Kuala Lumpur yang disemarakkan dan disesuaikan dengan sambutan Ramadhan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia.

Artikel selebihnya dengan membaca entri ini sepenuhnya.