oleh: Noorariza Mohd Azahari
Festival Ramadhan yang masuk minggu kedua penganjurannya pada 28 dan 29 Julai 2012 yang akan datang telah berjaya menambat minat para penduduk sekitar Kuala Lumpur dan pelancong yang berminat untuk merasai pengalaman berbuka berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad sambil merakamkan suasana senja di tengah-tengah kotaraya ini. Ini adalah sebagai sebahagian usaha untuk menyemarakkan Ramadhan yang mulia seperti di kebanyakan Negara-negara Arab.
Di Mekah Al-Mukarramah misalnya, berlatar belakangkan Kaabah, anda dapat menikmati kurma pilihan seperti sukkari, ajwa, routab, anbar dan lain-lain lagi yang disesuaikan dengan minuman arab iaitu Qahwah (kopi pahit) dan teh bersama daun pudina. Mengambil kira keindahan menyambut Ramadhan di Negara Timur Tengah, Kuala Lumpur juga berpeluang menyemarakkan sambutan tersebut secara sederhana tetapi meriah dengan juadah berbuka merangkumi bubur lambuk Kampung Baru sebagai menu utama selain kurma dan manisan yang bersesuaian.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli gembira kerana usaha yang dilaksanakan secara julung kalinya hasil kerjasama erat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, malahan media penyiar (radio) Klasik Nasional dan Ikim.fm, Muzium Kesenian Islam, Sungei Wang Plaza dengan kerjasama RTM dan kariah-kariah masjid sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya turut sama berganding bahu menjayakan festival yang pertama seumpamanya di Malaysia ini.
Sebagai sebahagian daripada kehangatan Festival Kuala Lumpur yang giat dilaksanakan sepanjang Julai dan terus disemarakkan dengan sambutan Ramadhan. Menurut Norliza lagi; festival ini bersesuaian dengan tradisi masyarakat Islam di Malaysia yang menyambut Ramadhan dengan aktiviti tadarus Al-Quran, berzanji, marhaban dan sebagainya bersesuaian dengan Ramadhan yang mulia dan sepatutnya disemarakkan dengan pelbagai ibadah dan bukanlah sekadar pengisian untuk sambutan Aidilfitri semata-mata.
Program-program baru ini menjurus kepada suasana baru dalam seni budaya dan bukan sekadar penjenamaan semata-mata. Misalnya aktiviti seperti berzanji, marhaban, nasyid bahkan program mengimarahkan masjid (meramaikan) sempena bulan Ramadhan sudah lama menjadi tradisi dan budaya masyarakat beragama Islam di Negara kita namun tidak pernah menjadi sebagai sebahagian acara mega Negara.
Mengambil pendekatan ini, JKKN berhasrat untuk melaksanakan Festival Ramadhan yang akan mendekati pembudayaan dan tradisi Islam dalam menyambut Ramadhan dengan menyemarakkan Ramadhan dengan aktiviti ibadah seperti bersedekah, berzikir, bertadarus, dan pelbagai kaedah untuk menyemarakkan ruh Ramdhan. Usaha ini tidaka kan Berjaya tanpa kerjasama media massa, korporat, komuniti dan pihak berkuasa tempatan bagi menjayakan aktiviti ini. Festival ini juga diharapkan dapat membantu memandu masyarakat menghormati dan memuliakan bulan yang mulia ini khususnya di kalangan generasi muda Malaysia sesuai dengan pembangunan ruhani dan modal insan.

Berteraskan tema ‘Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima!’ ; Festival ini bertujuan untuk; meningkatkan aspirasi rakyat Malaysia terhadap bulan Ramadhan selain bertujuan untuk mengimarahkan (menyemarakkan) kegiatan keruhanian di kalangan generasi muda semasa bulan Ramadhan seperti aktiviti yang meningkatkan ruh ramadhan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah serta disuruh oleh Rasulullah SAW di dalam bulan Ramadhan seperti tadarus Al-Quran, iktikaf, zakat fitrah, solat tarawih, qiyamullail, sahur, ifthor-memberi makan kepada yang berpuasa dan sebagainya adalah menjurus kepada melahirkan insan muttaqin.
Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Al Baqarah : 183
Festival ini turut menjadi keistimewaan baru kepada Festival Kuala Lumpur yang disemarakkan dan disesuaikan dengan sambutan Ramadhan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia.
Artikel selebihnya dengan membaca entri ini sepenuhnya.

