Written by Bella | March 8th, 2017

Umum mengetahui pelakon, Zarina Zainuddin mempunyai dua anak kembar lelaki austime bernama  Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai . Zarina juga sering memuat naik video kedua-dua anaknya itu di Instagram dan sering mendapat pelbagai reaksi daripada pengikutnya. Bagi mereka, Zarina mempunyai hati yang cukup tabah dan semangat yang kuat untuk membesarkan dua orang anak istimewa itu.

Menerusi portal Astro Gempak,  Zarina berkongsi pengalaman serta detik pahit dan manis selama 21 tahun beliau mengasuh dan membesarkan anak-anaknya itu.

Mengakui bukan mudah untuk membesarkan dua orang anak istimewa, beliau sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan beliau kesabaran dan semangat.

Wanita adalah makhluk Tuhan yang paling istimewa. Dia kuat besarkan dan menyayangi anaknya sehingga dewasa, tak kira apa sahaja rintangan yang dilalui. Saya boleh katakan, wanita lebih kuat daripada lelaki. Lelaki sebenarnya punya sifat manja. Jika mereka sakit kita boleh lihat mereka lemah.

Saya tidak merasakan apa yang saya lakukan sebagai seorang ibu itu pengorbanan tetapi ianya adalah satu keperluan. Tak dinafikan membesarkan dua orang anak autisme ini bukan mudah tapi dari situ kita boleh menambah pahala dan amal kita kepada Allah. Saya sentiasa meminta pada Allah supaya berilah saya kesabaran dalam membesarkan mereka.

Pada awalnya, Zarina akui beliau pernah tewas dan berputus asa. Saat itu, beliau pernah terdetik didalam hati untuk Allah SWT mengambil nyawanya dan anak-anak agar kesengsaraan yang dilalui tamat.

#Part2 @azal_azrai 💕😭😪

A post shared by Zarina Zainuddin (@zarinazainuddin_) on

Kita manusia biasa, ada masa kita tewas. Pernah sewaktu anak-anak masih kecil saya hampir putus asa apabila melihat keadaan mereka yang sering mencederakan diri sehingga berdarah-darah. Saya pernah terdetik untuk meminta Allah tarik sahaja nyawa saya dan anak-anak supaya kami sama-sama mati dan tidak perlu meneruskan hidup lagi.  Waktu itu iman saya tidak kuat dan saya seperti mahu mati bersama anak-anak tetapi nasib baik saya cepat tersedar dan memohon ampun kepadaNya. Kehidupan selepas mati juga bukan mudah seperti yang kita sangkakan.

Buat Zarina, anak-anak istimewa ini juga  sama seperti kita semua yang mempunyai perasaan dan  mahu keluar  menjalani aktiviti sosial seperti orang lain juga.  Zarina menasihati ibu bapa yang mempunyai anak istimewa diluar sana agar selalu kekal tabah dan bersabar. Janganlah memarahi atau memukul anak anda, sebaliknya ajarlah mereka tentang kehidupan dan mereka akan dapat memahaminya sedikit demi sedikit.

Kami juga sering menonton video Zarina dan anak-anaknya, antara yang mendapat perhatian ramai apabila Zarina dipukul oleh anaknya Azal ketika berada didalam kereta. Saat itu, memang terdetik di hati kami betapa tabahnya beliau. Kami harap Zarina dan ibu bapa lain di luar sana yang senasib dengannya agar tidak mudah mengalah dan diberikan kesabaran dan semangat yang lebih untuk membesarkan anak mereka.

Sumber Berita : Astro Gempak