Program Biografi Khas Mengenang 100 Hari Pemergian Allahyarham Din Beramboi di Astro Prima

Hiburan

Program Biografi Khas Mengenang 100 Hari Pemergian Allahyarham Din Beramboi di Astro Prima

arwah din beramboi
Kuala Lumpur, 7 Julai 2010 – Setelah hampir genap 100 hari pemergian Allahyarham Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad, Astro akan menayangkan sebuah program istimewa bagi mengimbas kembali kenangan-kenangan beliau di industri hiburan yang berjudul ‘Di Sebalik Din Beramboi @ Mior Ahmad Fuad’ menerusi Astro Prima (saluran 105) pada hari Sabtu, 10 Julai 2010, jam 10.00 malam.

Astro Prima mengambil inisiatif untuk membawakan program biografi khas ini khusus buat tontonan para penonton bagi mengenang jasa serta sebagai tanda penghormatan buat Allahyarham Din Beramboi dengan menampilkan sisi-sisi kehidupan pelawak tersohor ini yang tidak diketahui umum untuk dikongsi bersama para peminatnya.

Advertisement

“Walaupun sudah 100 hari Allahyarham meninggalkan kita, tetapi masih terngiang-ngiang lawak beliau di halwa telinga dan ternyata setiap lawak tersebut tidak pernah gagal untuk membuatkan kita ketawa tidak kering gusi apabila mendengar atau menontonnya berulang kali. Sebagai memperingati sekaligus mengubati rindu peminat-peminat beliau, Astro mengambil kesempatan ini untuk membawakan sebuah program istimewa ‘Di Sebalik Din Beramboi @ Mior Ahmad Fuad’ yang dibuat khas bagi mengimbas kembali cerita-cerita, aksi spontan, lawak jenaka serta kisah hidupnya kepada penonton secara eksklusif,” ujar Encik Nizam Sani, Pengurus Saluran Astro Prima.

Program khas Di Sebalik Din Beramboi ini akan menyingkap setiap aspek tentang Allahyarham seperti kerjaya, cinta, keluarga, personaliti, hobi dan lain-lain. Menariknya program ini ialah ia akan menyusuri sisi berlainan Din Beramboi yang tidak pernah didedahkan pada umum dan boleh ditonton menerusi program ini.

Program ini akan turut menampilkan sedutan wawancara bersama teman-teman terdekat dan ahli keluarga Allahyarham yang akan berbicara tentang siapakah sebenarnya individu yang bergelar Din Beramboi ini. Ketahui watak, perilaku dan sikap pelawak hebat ini yang mungkin tidak pernah diketahui sebelum ini. Menerusi program ini juga, para penonton berpeluang untuk melihat foto-foto eksklusif serta barang-barang peribadi milik Allahyarham.

Menariknya program ini ialah ia turut menampilkan Aznil Haji Nawawi sebagai pengantara. Pemilihan beliau dilihat tepat kerana beliau merupakan rakan terdekat yang selalu menemaninya di konti ’Riuh Pagi di Era’. Digandingkan bersama menerusi segmen itu sedikit sebanyak membantu Pak Nil untuk berkongsi dengan lebih lanjut mengenai Allahyarham.

Peminat-peminat Allahyarham Din Beramboi melihat beliau sebagai seorang yang periang dan ceria setiap masa serta sentiasa menggembirakan orang disekelilingnya. Namun, pasti ramai yang tidak menduga keperibadian sejati pelawak ini yang disembunyikan di sebalik lawak jenaka serta tawa cerianya yang mungkin hanya diketahui oleh teman-teman dan keluarga terdekat sahaja. Untuk menonton rancangan khas pemeringati pelawak tersohor ini, jangan lupa saksikan ‘Di Sebalik Din Beramboi @ Mior Ahmad Fuad’ di Astro Prima (saluran 105) pada hari Sabtu, 10 Julai 2010, jam 10.00 malam.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...