Written by serenity | March 7th, 2014

Sebanyak enam kumpulan sudah mengesahkan tiket ke peringkat akhir malam kemuncak Lantai Cilik musim kedua. Pertandingan yang diperkasakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini kembali berdasarkan sambutan memberangsangkan sejak musim pertama diwujudkan.

Kemuncak Lantai Cilik musim pertama saja mencatatkan rating lebih 1 juta penonton dan menyaksikan Kiawayan Dance Club (KDC) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kiawayan, Tambunan, Sabah, muncul juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 serta hadiah sampingan. Malah Kumpulan tersebut telah dibawa mewakili Malaysia di Minggu Malaysia London, United Kingdom untuk persembahan kesenian anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebagai insentif kemenangan mereka.


 photo 12762063765_0e49ef45df_o.jpg
 photo 12762511024_ba3fdf034c_o.jpg

Bagaimana dengan kemuncak Lantai Cilik musim kedua yang bakal berlangsung 8 Mac depan di Auditorium Perdana Angkasapuri dan dipancarkan secara langsung di TV2, jam 9.00 malam. Ia bakal dihoskan Fimie Don dan Seri Nabilla serta menampilkan adik Nik Nur Amalin sebagai juri culik.


 photo BDG_4402.jpg

Enam kumpulan yang berentap ialah Tunas Tari Warisan, Sekolah Kebangsaan Tangga Batu (Melaka), Sekolah Kebangsaan St Agnes (Kota Kinabalu Sabah), De Art Convent Sekolah Kebangsaan St Francis Convent (Sabah), Sekolah Kebangsaan Sri Amar Kota Tinggi (Johor), Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti Puchong (Selangor) dan Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong (Selangor).

Hadiah berjumlah keseluruhan sebanyak RM 112,500 bakal dimenangi pada malam itu. Johan saja bakal membawa pulang wang tunai RM50,000, Naib Johan bakal memperoleh wang tunai RM30,000 manakala tempat ketiga pula wang tunai sebanyak RM15,000. Hadiah turut diiringi sijil dan trofi.

Tiga lagi kumpulan tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya menerima hadiah saguhati bernilai RM2,500 berserta trofi dan sijil. Istimewanya penonton yang menyertai kuiz dianjurkan dan menjadi pemenang soalan terkumpul juga bakal merebut motosikal Modenas yang ditawar sebanyak tiga buah.


Persembahan juara Lantai Cilik Musim Pertama, Kiawayan Dance Club Dari SK Kiawaiyan, Tambunan, Sabah

Sidang media mengumumkan finalis diadakan 22 Februari lalu di Lighthouse Cafe, Sunway Lagoon Resort. Ia dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Mohd Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli dan Tuan Haji Mohd Anuar Abdul Hamid (Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia). kata Norhyati:-

RTM gembira dengan kerjasama erat bersama JKKN serta Kementerian Pendidikan Malaysia ini dan mengharapkan kemuncak Lantai Cilik kali ini akan gegak gempita dengan kehadiran penonton di Amphitheatre Sunway Lagoon serta Malam Kemuncak di Auditorium Perdana Angkasapuri dan di rumah. Kerjasama tahun lalu menerusi penganjuran yang sama cukup membanggakan RTM dan JKKN.

Sementara itu, Norliza pula beranggapan pengalaman JKKN dalam bidang tarian kanak-kanak hasil kerjasama dengan RTM dan Kementerian Pendidikan yang menyokong penuh usaha JKKN untuk terus melatih Kumpulan Tunas Budaya selaku katalis dalam menyediakan generasi akan datang yang celik seni dan budaya terus dipertingkatkan. Kata Norliza:-

Kami terus komited untuk membimbing dan menggalakkan generasi muda Malaysia untuk mencintai seni dan budaya. Penggalakkan program berteraskan Pembangunan Modal Insan /Kelab Asuhan Seni seperti Kelab Asuhan Seni, Kelab Tunas Budaya (KTB), Kelab Giat Budaya (KGB), Bimbingan Seni Budaya Rakyat (BSBR), Kelab Siswa Budaya (KSB), Sekolah Seni dan Jurulatih Seni Budaya Negara terus dipertingkatkan.

Begitu juga dengan program PERMATA Seni Koir dan PERMATA Seni Tari yang merupakan program di bawah naungan Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor melalui PERMATA Seni serta diselaraskan urusannya oleh JKKN bagi membimbing kanak-kanak yang berbakat cemerlang dalam bidang seni tari dan koir di bawah lingkungan umur 7 hingga 12 tahun.

Jadi usaha ini tak akan pernah putus. Kerjasama strategik JKKN dengan RTM serta sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia menguatkan lagi apa yang mahu diperjuangkan. Buat enam kumpulan Lantai Cilik musim kedua selamat maju jaya dan buat yang terbaik pada malam kemuncak nanti.

Lantai Cilik 2 (LC2) menjadi manifesto berterusan dalam mencari bakat luar biasa menerusi cabang tarian tradisional dan kontemporari. Kerjasama strategik dan berterusan antara RTM dan JKKN serta dengan sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi pertandingan tarian itu membuktikan kesungguhan ejen kerajaan itu memartabatkan kreativiti bakat muda di negara ini.

Program ini bukan sekadar mencari sang juara sebaliknya dalam perjalanan ke arah itu ia turut menonjolkan beberapa nilai positif dalam usaha mengembangkan kebolehan bakat muda terutama dalam tarian. Di samping itu ia dapat meningkatkan keyakinan diri, kerja pasukan serta daya saing yang boleh dicontohi generasi muda.

Saksikan kemuncak Lantai Cilik musim kedua bersiaran di Auditorium Perdana Angkasapuri dan boleh ditonton secara langsung di TV2 mulai jam 9 malam esok.

Lagi 29 gambar dengan membaca entri ini sepenuhnya.

 
Written by serenity | July 30th, 2013

Bersempena Festival Ramadan 2013, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Ikim.FM dan Nasional.FM menganjurkan Pertandingan Cipta Lagu Nasyid dan Pertandingan Cipta Lagu Raya. Lagu-lagu yang telah dihantar untuk penyertaan telah disaring dan hanya 16 lagu telah layak ke peringkat akhir untuk Pertandingan Lagu Nasyid manakala 12 lagu telah layak ke peringkat akhir bagi Pertandingan Cipta Lagu Raya.

Lagu-lagu nasyid dan raya telah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat negara ini. Pertandingan ini ialah salah satu usaha yang dijalankan oleh JKKN untuk memperkembangkan dan memperbanyakkan jumlah lagu nasyid dan raya yang berkualiti agar tidak terlalu bergantung pada lagu-lagu nasyid dan raya yang lama sahaja.

Sehubungan itu, kerjasama pada pembaca BeautifulNara.com adalah dipohon untuk mengundi lagu-lagu nasyid dan raya ciptaan baru ini bagi menentukan lagu manakah yang paling terbaik dan layak menjadi juara. Cara-cara mengundi lagu-lagu ini diterangkan dengan sepenuhnya melalui poster-poster di bawah. Untuk besarkan poster, sila klik poster tersebut:-


Nota: Mulai Isnin 29/7/13, tiga (3) buah lagu telah tersingkir kerana mendapat undian terendah iaitu :

1) Harus Tabah,
2) Islam Yang Syumul, dan
3) Pujian UntukMu

Mohon kerjasama anda untuk tidak mengundi lagu-lagu tersebut.


Untuk makluman anda, tarikh tutup undian bagi kedua-dua pertandingan ialah 18 Ogos 2013. Jadi apa lagi, mainkan peranan anda dalam membantu kesinambungan seni dan budaya di Malaysia.

Untuk makluman anda jua, juara bagi kedua-dua pertandingan akan mendapat hadiah wang tunai RM 10,000 manakala lima lagi akan mendapat hadiah saguhati sebanyak RM 1,000 setiap seorang.

Setiap undian dicaj hanya RM 0.50. Mudah saja kan? Jom mengundi!

Written by serenity | April 1st, 2013

Adakah anda peminat teater? Sekiranya anda peminat teater, dan minat pula dengan karya bergenre komedi seram, bolehlah ke Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, Kuala Lumpur untuk menonton karya “Hantu Ketapang – Jangan Lalu Bawah Pokok” yang dipentaskan oleh persatuan Geliga Sakti Opera (GMO).


Teater ini bakal dipentaskan pada 12 dan 13 April 2013 ( Jumaat dan Sabtu ), pukul 8.30 malam manakala untuk 14 April (Ahad), dua pementasan bakal diadakan iaitu tambahan pementasan pada 3.30 petang.

Naskhah ini mengisahkan Ketapang (Fairuz Selamat), iaitu seekor hantu jantan yang hidup di sebuah pokok ketapang dalam sebuah kampung. Kebetulan kedudukan pokok itu terletak di tengah-tengah laluan orang kampung keluar masuk untuk ke bandar. Kekecohan terjadi apabila Ketapang yang telah di beri tempoh 21 hari untuk mencari jodohnya sendiri oleh Bapak dan Mak Hantu telah jatuh hati pada seorang gadis kampung iaitu Zulina (Nas Adila).

Zulina yang bekerja di sebuah kilang sering menggunakan laluan di bawah pokok ketapang untuk ke tempat kerja. Ketapang yang di temani sahabat baiknya Hantu GiGi (Hairie Mohamad), sentiasa menantikan kehadiran Zulina dan adakala cuba menegurnya namun dihalang beberapa kali oleh GiGi kerana bimbang Zulina terkejut apabila melihat wajah sebenar Hantu Ketapang. Dalam pada itu Hantu Ketapang agak rimas dengan perangai dan sikap sesetengah penduduk kampung yang masih melakukan kerja-kerja ‘ngangkung’ di pokok tersebut. Dia dan Hantu GiGi pernah beberapa kali memperdayakan mereka dari melakukan kerja terkutuk itu.

Di suatu petang, Ketapang telah di kejutkan dengan kemunculan Zulina bersama kekasih hatinya iaitu Johari (Aliff AF) yang bercadang untuk mengikat tali pertunangan, sambil ditemani sahabatnya Megat (Ezad Lazim) dan Farah (Seri Nabilla).

Johari tanpa sedar telah melukakan hati Ketapang. Ketapang yang marah telah membuat onar di kampung tersebut mengganggu penduduk kampung sehingga kecoh sampai ke warung Pak Tam, ayah Zulina. Keadaan bertambah tegang apabila Johari dan Zulina hilang, dikhuatiri di culik oleh Hantu Ketapang. Pak Tam (Zaiful Hazami ) Bakar (Lokman Harmin) Kamil (Black Azmer) serta orang kampung berusaha menjejak mereka tapi gagal. Sehinggalah berlaku kejadian yang tidak di duga di bawah pokok Ketapang dengan munculnya Bomoh KK (Ani Maiyuni) untuk menyelamatkan keadaan. Berjayakah Bomoh KK melawan Ketapang? Bagaimanakah dengan Zulina dan Johari? Nantikan kesudahannya.

Pengarah teater ini, Raja Azrey Raja Kamaruddin berkata:-

Latihan telah pun berlangsung lebih sebulan, dan segalanya nampak positif dan saya amat bangga kerana peluang yang diberikan kepada artis-artis terlibat digunakan sebaik mungkin dan mereka tidak pernah merungut malah kami senang bekerjasama bagi memastikan watak masing-masing lebih cantik dan menarik.

Dengan barisan artis yang terlibat seperti Fairuz Selamat, Ezad Lazim, Nas Adilla, Aliff AF, Ani Maiyuni, Arin Raja Lawak, Abu Mamu dan Seri Nabilla, saya sangat berharap pementasan teater Hantu Ketapang ini dapat menarik minat semua golongan untuk menyaksikannya. Dengan lokasi yang sangat strategik saya yakin peminat teater sekitar Lembah Klang mudah untuk datang menyaksikan teater bercorak komedi seram ini.

Untuk makluman anda, pas untuk menonton teater ini hanya berharga RM 10 sahaja. Sekiranya berminat, hubungi Atie di 018-3201979 dan Fatin di 016-3221867 untuk tempahan/belian. Sokonglah industri budaya tempatan!

Written by serenity | March 31st, 2013

Ramai kanak-kanak Malaysia sebenarnya sangat berbakat dalam menarikan gerak tari tradisional. Atas dasar itu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mengambil inisiatif untuk mencungkil bakat mereka melalui rancangan pertandingan tari tradisional yang pertama seumpamanya di Malaysia, Lantai Cilik.

Uji bakat pertandingan itu telah diadakan di zon-zon seluruh Malaysia dan peringkat awal pertandingan ini telah disiarkan setiap Sabtu, jam 1.00 petang di TV2. Minat yang mendalam terhadap rancangan ini terserlah melalui jumlah penonton yang mencapai 250,000 – 300,000 orang untuk satu episod dan ia ialah rancangan kanak-kanak yang mendapat jumlah penonton paling tinggi dalam sejarah penyiaran di Malaysia.

Dengan alunan irama yang mengasyikkan, anak-anak ini mempamerkan kemahiran menari dengan baik sekali, dan sudah tentunya melampaui jangkaan sesetengah pihak yang mungkin tidak menjangka gerak tari kanak-kanak ini setanding dengan kelincahan dan ketangkasan artis tari profesional.

Setelah melalui pelbagai peringkat dari saringan hingga ke separuh akhir, peringkat akhir pertandingan ini iaitu Malam Kemuncak Lantai Cilik akan berlangsung ada 6 April ini (Sabtu) di Auditorium Perdana, Angkasapuri. Sebanyak lima kumpulan akan berentap di peringkat akhir untuk menjuarai rancangan yang julung-julung kali diadakan di Malaysia ini.

Kumpulan-kumpulan yang bakal bertanding di peringkat akhir ialah:-

1) Kumpulan Seri Warisan dari SK Sikamat, Negeri Sembilan

2) Kumpulan Kaki Nari Dancers dari SK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.

3) Kiawayan Dancer Club dari SK Kiawayan, Sabah

4) Kumpulan Langkah Cilik dari SK Sembulan, Sabah

5) Kumpulan Ravan Dancers dari SJK (T) Masai, Johor

Hadiah untuk pemenang Lantai Cilik ialah hadiah wang berjumlah RM 75,000.00 (keseluruhan), trofi, sijil penyertaan, Apple iPad 3, Blackberry Bold, Apple iPod Touch, baucer pakaian Hari-Hari dan tiket ke Taman Tema Sunway Lagoon.

Melihatkan hadiah yang lumayan, pasti ramai yang tertanya-tanya adakah ia bakal didapati dengan mudah oleh para peserta? Penerbit rancangan ini, Jumaninor Hanaffi dari JKKN berkata:-

Oleh kerana hadiah yang begitu lumayan, para peserta akan diberikan tugasan yang sukar supaya mereka yang menang adalah terdiri dari para peserta yang menampilkan persembahan terbaik.

Malam Kemuncak Lantai Cilik bakal menampilkan Seri Nabilla Farah, Azrul Hisham dan Saifulkhairi Ahmad Hasibuan sebagai pengacara. Mereka yang berminat untuk menonton pertandingan akhir ini secara langsung, bolehlah hadir ke Auditorium Perdana, Angkasapuri pada 6 April ini,mulai 8.00 malam.

Bagi yang tidak berkesempatan berbuat sedemikian, bolehlah menonton Malam Kemuncak Lantai Cilik yang disiarkan secara langsung mulai 9.00 malam di TV2 dan juga TVi (Astro 180). Jangan lupa saksikannya!

Page 1 of 212