Written by AbangNara | August 2nd, 2011

Harap-harap dengan penerangan terhadap 10 isu berbangkit yang telah dianjurkan oleh pihak portal MURAI akan berjaya menepis segala tohmahan terhadap kedua-dua belah pihak. Baca, nilai sendiri dan cubalah bersangka baik lagi-lagi kita di bulan Ramadhan ini. Terima kasih kepada Andyhowtt untuk berita ini.

10 jawapan khairul fahmi

1. Keputusan Nekad Putus Tunang

“Sebenarnya keputusan saya mahu putuskan tali pertunangan dengan Elia, bukanlah keputusan yang dibuat secara terburu-buru. Saya sendiri sudah pun berbincang dengan keluarga saya. Malah, saya sendiri ada menghubungi Elia untuk berbincangkan tentang keputusan penting ini.

Namun, Elia seakan tidak memberikan sebarang kata-kata sama ada mahu atau tidak. Dia memberikan tanda tanya kepada saya. Terpulanglah jikalau dia mengatakan saya tidak ada berbincang dengannya.

Insya Allah, dalam masa terdekat ini keluarga saya akan datang berjumpa dengan keluarga dia untuk mengesahkan perkara ini dengan lebih rasmi. Apapun, saya memohon maaf andaikata keputusan ini menyinggung hati banyak pihak. Saya merasakan ini adalah keputusan yang terbaik buat Elia, saya, keluarga dan sesiapa saja yang terlibat secara langsung atau tidak.

2. Tiada Kena Mengena Orang Ketiga

Sudah pun saya jelaskan sebelum ini, keputusan putus tunang tiada kena mengena dengan orang ketiga. Apatah lagi dengan wanita yang bernama Dahlia itu. Saya mengaku memang saya berkawan dengan Dahlia. Namun hubungan saya tidak lebih sebagai abang dan adik. Lagi pun, Dahlia adalah kawan sekampung saya. Umur dia baru saja 18 tahun. Saya pun rapat dengan famili Dahlia dan menganggap mereka sebagai keluarga angkat.

Minta maaf semua kerana saya tak boleh nak jelaskan lebih panjang tentang kes orang ketiga ini. Saya takut, jika makin saya buka mulut perkara yang tidak sepatutnya diketahui umum tersebar tanpa pengetahuan saya. Malah, saya tak mahu orang berprasangka buruk lagi terhadap kami berdua. Cukuplah sampai di sini saja. Saya tak mahu aibkan orang. Biarlah saya telan sendiri kepahitan yang menghantui diri saya ini. Apapun, saya berterima kasih kepada pihak yang mengambil berat tentang diri saya terutama sekali pihak media.”

3. Tuduhan Dirinya Sebagai Kaki Perempuan

“Sebaik saja saya mendengar dakwaan tentang saya ni kaki perempuan, saya nak tergelak dan tertanya-tanya bagaimana cerita sebegini boleh tersebar. Setiap hari, jadual saya sibuk dengan latihan bola sepak sehinggakan saya tiada masa untuk bersosial bersama dengan rakan-rakan rapat. Sampaikan saya tiada masa untuk pulang ke kampung. Malah, bila saya diberikan cuti, saya lebih gemar pulang ke kampung dan berehat bersama keluarga di Kelantan.

Tentang gambar-gambar saya dengan perempuan yang tersebar itu, saya hanya boleh cakap, ada antara wanita dalam gambar itu saya sendiri tak kenal siapa namanya melainkan dia adalah kawan saya. Saya cuma tahu wanita-wanita itu adalah peminat saya yang menyokong karier saya sebagai penjaga gol kebangsaan.

Saya boleh mengaku, adakala saya keluar dengan teman perempuan lain selain Elia tetapi waktu itu saya keluar beramai-ramai bersama kawan saya yang lain. Mungkin, jika ada orang ternampak saya keluar berdua saja kerana waktu itu kawan saya yang datang bersama pergi ke tempat lain. Jadi, ia secara kebetulan saja. Apapun, salah ke saya ni nak keluarga berbual dengan perempuan. Sebagai umat Islam, saya tahu batas pergaulan lelaki dan perempuan.

4. Isu facebook

Disebabkan terlalu sibuk, saya sendiri tiada masa untuk mengemas kini facebook saya. Untuk pengetahuan semua, sekarang ini facebook saya tidak lagi diaktifkan bukanlah kerana saya. Saya sendiri tak tahu akaun saya sudah tiada lagi. Apa yang saya tahu, akaun Facebook saya sudah pun dihacked.

Jadi, saya minta kepada semua penyokong saya, agar jangan terlalu mempercayai apa yang tertulis di ruangan facebook itu. Sekarang ini, saya masih belum berkesempatan untuk membuat akaun baru. Insya-Allah, bila masa sesuai, saya akan mewar-warkan pada semua tentang akaun facebook saya yang baru.

5. Tidak Menjawab Panggilan Telefon Dari Elia

Saya tidak pernah sekali pun mengelak panggilan telefon dari Elia. Mungkin jua, masa dia menelefon saya waktu itu, saya sedang sibuk dengan latihan dan perbincangan. Terus-terang, komitmen saya makin besar. Mungkin, apa yang Elia sampaikan itu adalah salah faham saja. Sebelum saya membuat keputusan menghubungi media Jumaat lalu (29 Julai 2011), saya memang ada menelefonnya.

6. Campurtangan Pihak Keluarga

Untuk memilih siapakah yang bakal menjadi suri dalam hidup kita perlulah menitik beratkan banyak perkara. Jadi, saya tidak boleh pentingkan diri sendiri. Sungguhpun saya dah berkahwin nanti, sebagai lelaki, tanggungjawab saya lebih besar pada keluarga.

Memang benar, apa yang berlaku sebelum ini ada melibatkan campurtangan dari kedua-dua belah pihak. Namun, biarlah saya seorang saja yang tahu. Sekali lagi, saya tak mahu mengaibkan orang lain. Saya hanya mampu melafazkan terima kasih kerana mereka sangat mengambil berat tentang saya.

7. Berpegang-tangan, berikan kasut dan kereta lama kepada Dahlia

Semua tuduhan ini adalah fitnah semata-mata. Saya tidak pernah membuat semua perkara ini. Malah, saya bukanlah kekasih baru Dahlia atau pun Sugar Daddy kepada Dahlia. Saya tidak pernah membelikannya kasut baru. Malah, saya sendiri tak ada pun memberikan kereta lama saya pada Dahlia. Kereta itu ada pada kakak saya dan kereta tersebut adalah kereta lama saya sebelum saya beli kereta baru. Kereta itu pun atas nama kakak saya bukan saya.

8. Sudah Lupa Diri

Sebagai hamba Allah, kita tak boleh lari dari melakukan kesilapan. Jika benar orang mendakwa dan lihat saya ni sudah lupa diri, saya minta maaf. Namun, sebagai manusia yang ada pendirian, saya rasa saya masih lagi Apex yang dulu. Insan dicipta tidak sempurna. Adakala manusia tidak sedar adakah perkara itu benar atau pun salah. Kadang-kala perkara itu benar bagi saya tetapi tidak bagi orang lain.

Apa yang saya tahu, saya bukan Apex yang dulu sebab kini ramai yang yang mual kenali diri saya. Saya tahu ini adalah tanggungjawab yang diberikan kepada saya. InsyaAllah, saya akan pikul tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Namun, saya tahu bukan mudah nak puaskan hati semua orang. Apa yang saya boleh lakukan, hanya melakukan sesuatu yang boleh mengharumkan nama negara ke peringkat lebih tinggi.

9. Gila Glamor dan Cari Publisiti Murahan

Saya bukan gila glamor dan cari publisiti murahan. Apa yang saya peroleh sekarang ini adalah hasil penghormatan ikhlas dari anda semua. Saya tak pernah pun terhegeh-hegeh untuk cari populariti. Saya hanya laksanakan tugasan saya sebagai penjaga gol kebangsaan.

Keputusan putus tunang ini pun diberitahu media kerana saya tahu, media adalah orang terdekat yang boleh memberitahu kepada semua orang cerita sebenar saya. Saya mahu berlaku adil pada diri saya, keluarga saya, keluarga Elia dan semua penyokong saya.

10. Memohon Maaf

Saya masih belum berjaya lagi. Saya masih lagi berusaha untuk menjadi terbaik. Kalau boleh saya mahu cipta sejarah baru. Apapun, saya tidak akan lokek untuk meminta maaf andaikata perkara yang berbangkit ini datang dari kesilapan saya. Mungkin, waktu itu saya tak sedar apa yang saya katakan sebelum ini membuatkan hati orang lain terluka. Saya hanya mampu meminta maaf. Tak kisahlah sebesar zarah seseorang itu melakukan kesalahan, sebagai makhluk yang dicipta Allah, meminta maaf adalah jalan terbaik.Saya harap, semua dapat terima dengan segala penjelasan ini.

Selepas ini, saya mahu terus berbakti kepada negara dan mahu lebih fokus pada karier. Namun, saya tahu saya tak boleh lari dari berkongsi kisah peribadi saya. Insya-Allah, jika perlu saya akan berkongsi. Kepada pihak media yang lain, saya mohon maaf kerana tidak dapat memberikan kerjasama. Saya terharu dengan keprihatinan anda semua. Saya tahu, anda semua hanya melakukan tugasan anda. Kalau saya ditempat anda, mungkin jua saya melakukan perkara yang sama. Sekali lagi, saya minta maaf kepada semua dan terima kasih kerana menyokong saya tanpa putus.

Written by AbangNara | August 2nd, 2011

Setelah isteri Jimmy Shanley, Suhaila memberi kenyataan baru-baru ini, ramai pihak yang menunggu kenyataan media Jimmy Shanley. Namun begitu Jimmy nampaknya telah membuat satu keputusan yang bijak. Menurut GUA, Jimmy hanya akan memberikan kenyataan di mahkamah kelak.

jimmy shanley

Berikut ialah kata-kata Jimmy Shanley berhubung hal ini:-

Kita kena tunggu di mahkamah. Ini kerana apabila saya membuka mulut kepada media ada individu tertentu mengaitkan saya dengan publisiti murahan. Saya terpaksa menjawab persoalan media kerana itu tanggungjawab saya sebagai personaliti yang menjadi hak milik masyarakat. Lebih baik saya diam sekarang dari dituduh cuba untuk meraih simpati dan saya hanya akan bercakap bila perlu sahaja. Saya tidak cakap kosong kerana setiap apa yang perkatakan dibantu dengan bukti-bukti yang kukuh. Saya akan berdiam sehingga di mahkamah kelak.

Sempena Ramadhan yang penuh barkah ini, Abang Nara berdoa agar Jimmy dan isteri menemui kembali titik perdamaian antara mereka berdua. Mungkin kedua-duanya perlu fikirkan masa depan anak mereka. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Banyak-banyakkanlah berdoa di bulan Ramadhan ini.

Secara ikhlas, Abang Nara berharap sangat agar perkahwinan Jimmy dan Suhaila tidak berakhir dengan penceraian. Insya-Allah.

Written by AbangNara | August 1st, 2011

Di kala kita bergembira menyambut kedatangan Ramadhan, sebentar tadi Abang Nara telah mendapat berita mengenai perginya seorang penyanyi pop yeh yeh popular, iaitu Hasnah Haron. Menurut Hazrey, Hasnah Haron telah meninggal dunia jam 8 pagi tadi  akibat kanser pangkal rahim. Sama-samalah kita sedekah Al-Fatihah dan doakan agar Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang beriman.

hasnah haron meninggal dunia

Arwah Hasnah Haron telah pun menghidap penyakit kanser pangkal rahim sejak Januari yang lepas. Namun beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sejak seminggu yang lepas apabila penyakit tersebut semakin kronik. Dimaklumkan bahawa kanser tersebut telah menyerang buah pinggang dan paru-paru Allahyarhamah.

Allahyarhamah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiah Johor Bahru petang ini. Arwah telah meninggalkan 5 orang anak.  Sekali lagi marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah.

Di bawah ialah petikan info Hasnah Haron daripada Wikipedia:-

Hasnah Haron merupakan salah seorang penyanyi pujaan ramai era 60-an / 70-an yang sering mendendangkan lagu-lagu di radio Malaysia.Ketika itu pengaruh kumpulan The Beatles dari England telah mewujudkan irama pop yeh-yeh dari 1965 hingga 1971. Istilah “”pop yeh-yeh”” telah diambil dari judul lagu popular The Beatles, (She Loves You – Yeh, Yeh, Yeh). Penyanyi pada zaman 1960-an biasanya diiringi oleh kumpulan kugiran.Hasnah Haron sering membuat persembahan dengan diiringi oleh kumpulan Les Kafilas. Beliau mencipta nama dengan lagu Bersedih.Hasnah Haron turut terbabit bagi menjayakan Konsert Pop Yeh Yeh Suatu Evolusi 2007, di Stadium Malawati dan julung kali diadakan oleh Global Ads Workstation Sdn. Bhd.

Written by AbangNara | August 1st, 2011

Hari Sabtu 2 minggu yang lepas, Abang Nara menjejakkan kaki ke The Curve untuk melihat siapakah yang akan dinobatkan menjadi juara Dentyne Terrar-Oke. Ini adalah pentas terakhir untuk kelima-lima finalist menunjukkan bakat, persembahan dan keyakinan mereka di hadapan khalayak ramai. Perlu diingatkan yang hadiah wang tunai bernilai RM15,000 menanti juara Dentyne Terrar-Oke ini.

dentyne final

Inilah kelima-lima finalist yang bertarung untuk bergelar juara Dentyne Terrar-Oke sekaligus menjadi senasi internet terkini. Gambar diambil sebelum persembahan bermula jadi kita boleh nampak kenervousan mereka di situ. (dari kiri Soong Mei Lin, Keana Reinu, Nyna, Abang Nara kacak, Hanis Zalikha, Shazz Rin dan peserta feveret Abang Nara, Megat Zahrin)

dentyne final

Dan untuk menjadi juri bagi finale terhebat ini, kita ada 2 selebriti yang mantap iaitu tak lain tak bukan Afdlin Shauki dan Juliana Evans. Dua-dua seriously kelakar gila sepanjang konsert finale ini berlangsung. Dan sesungguhnya Juliana Evans lebih kurus daripada apa yang anda tengok di dalam gambar.

dentyne final

Selepas sembahyang Maghrib (thumbs up kepada penganjur kerana prihatin), persembahan yang dinanti-nantikan pun bermula. Depan stage yang lengang tiba-tiba dah penuh dengan manusia-manusia yang datang menyokong finalist favourite diorang. Tak percaya? Cuba korang tengok gambar kat bawah:-

dentyne final

Memang dengarlah jeritan, laungan kata-kata semangat dan sokongan padu peminat-peminat dan ahli keluarga kelima-lima finalist nie. Selaku pendengar, Abang Nara dengan bangganya boleh menyatakan yang kesemua finalist ini sememangnya sangat-sangat confidence berada di atas pentas. Persembahan mereka sememangnya mantap-mantap belaka.

1. Shazz Rin selaku peserta pertama mash up 16 lagu pop popular

dentyne final

2. Soong Mei Lin yang membuat persembahan penuh feeling dengan lagu khas buat ayahnya

dentyne final

3. Nyna yang sempoi dan rileks je membuat persembahan dengan vocal bertenaganya

dentyne final

4. Keana yang mendapat jeritan terkuat daripada kawan-kawannya membawakan mash up lagu-lagu popular sekarang ini.

dentyne final

5. Megat Zahrin yang jiwang karat menyanyikan lagu ciptaan sendiri khas buat tunangnya

dentyne final

Kalaulah pihak Dentyne suruh Abang Nara pilih pemenang, serious Abang Nara tak tahu nak pilih sapa. Kesemuanya ada kelebihan masing-masing. Untuk pengetahuan anda, markah sebelum finale ini adalah gabungan markah daripada juri dan pengundi Internet di Facebook Dentyne Terrar-Oke. Inilah markah mereka selepas minggu ke 4.

dentyne final

Dan untuk konsert finale ini, selain daripada markah juri, mereka yang hadir menonton turut serta boleh mengundi. Memang havoc gila masa undian dilakukan (kena letak LIKE di dalam box peserta feveret masing-masing). Semua orang bersesak-sesak untuk memastikan kemenangan peserta kegemaran mereka. Abang Nara pun undi jugak tapi undi adalah rahsia. Hehehe.

dentyne final

Dan sementara menunggu keputusan diumumkan, semua yang hadir dihiburkan dengan persembahan tarian, The Azenders (vocalist- Sam Bunkface) dan juga daripada Justin Bieber Malaysia. Justin Bieber Malaysia ini baru berusia 10 tahun dan dia memang sangat-sangat comel. Seriously tepukan untuk persembahan dia ialah yang paling kuat. Sila tengok video di bawah dan jatuh cinta dengan kecomelan Mohd Bin Laden.

Dan setelah berehat hampir sejam, masa yang ditunggu-tunggu oleh kelima-lima peserta telah pun tiba. Pengumuman pemenang untuk Dentyne Terrar-Oke. Siapakah yang bakal membawa pulang RM15,000 selaku juara Dentyne Terrar–Oke? Cuba korang teka dengan melihat gambar di bawah.

dentyne final

Yeah ~~~~~~~ Peserta favourite Abang Nara iaitu Megat Zahrin akhirnya merangkul gelaran juara Dentyne Terrar-Oke. Tempat kedua dimenangi oleh Keana Reinu, ketiga oleh Soong Mei Lin, keempat Shazz Rin dan kelima Nyna. Bagi Abang Nara, menang atau kalah perkara kedua. Perkara paling utama ialah kelima-lima peserta ini telah berjaya “Refresh Your Confidence” dengan menyertai Dentyne Terrar-Oke contest ini. Tak gitu?

So jom kita layan video persembahan Megat Zahrin, juara Dentyne Terrar-Oke di bawah. Suara dia memang padu babe.

Megat sememangnya layak bergelar juara bukan sahaja vokalnya padu tetapi dia juga menunjukkan keyakinan yang tinggi di dalam setiap video persembahannya.

Layankan recap untuk video minggu terakhir Dentyne Terrar-Oke di bawah. Tahniah sekali lagi kepada Megat!

Abang Nara memang kagum dengan keyakinan dan confidence dalam diri setiap peserta. Walaupun kebanyakan finalist tak pernah ada pengalaman buat live show di hadapan khalayak ramai. Namun dengan bantuan Dentyne ternyata mereka berjaya membuatkan aksi penuh bertenaga dan penuh keyakinan.

Jangan lupa layari Facebook Dentyne Malaysia untuk lebih info tentang Dentyne Terrar-Oke.

Page 20 of 21« First...10...1718192021