
SEBELUM ini, artis terkenal versatil Adibah Noor tidak ambil kisah tentang cacian dan maki-hamun daripada orang yang tidak dikenali mahupun mereka yang dikenali.
Adibah beranggapan itu adalah harga yang perlu dibayar oleh seorang penyanyi, pelakon, pengacara dan lain-lain.
Bagaimanapun, kesabarannya teruji apabila ibu bapanya turut menjadi mangsa cacian menerusi komen sebuah laman blog baru-baru ini.
Semuanya gara-gara Adibah terlibat dalam program realiti Mentor terbitan TV3. Dia merupakan mentor kepada protegenya, Thye.
Bila kesabaran teruji, Adibah telah bersemuka dengan pengendali blog tersebut dalam satu programnya.
“Saya berani pergi menghentam dia sebab tak puas dengan pelbagai perkara yang dikendalikan dalam blog dia. Mungkin kerana kita ini berani tentang dia…dan dia jadi sakit hatilah.,” katanya ketika menghadiri rakaman khas ‘Mentor Raya’ di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, Khamis lalu (27 Ogos 2009).
Menurut Adibah, apabila hati blogger itu menjadi sakit, benda itu menular menjadi barah. “Ia perlu dirawat secepat mungkin sebelum ia menjadi mudarat yang hancurkan diri sendiri,” katanya.
Pemenang Anugerah Juara Lagu 2006 (kategori balada) menerusi album ‘Terlalu Istimewa’ ini memberitahu komen-komen tersebut meremukkan hatinya.






